Menurut Kamus Dewan
Edisi Keempat cetakan keempat terbitan DBP 2013, mesin bermaksud alat atau
perkakas yang menggunakan kuasa seperti elektrik dan enjin untuk melakukan
sesuatu kerja. Makna seerti ialah jentera atau pesawat. Sastera pula ada 5
maksud. Bagi maksud penulisan blog ini, saya ambil maksud kelima iaitu
tulisan atau huruf.
Mesin sastera dalam
konteks blog saya ini bermaksud alat perkakas yang menggunakan kuasa ilham,
idea, buah fikiran dan gagasan untuk melahirkan suatu penulisan prosa bukan
kreatif yang akan memanipulasi tulisan atau huruf termasuk tanda-tanda huruf di
mana sesuatu aksara itu mempunyai maksud dan makna tertentu apabila disusun dan
diletak pada suatu kedudukan tertentu.
Ini bukan blog yang
akan membicarakan tentang hal ehwal sastera dan kesusasteraan kerana saya bukan seorang sasterawan yang mempunyai hasil penulisan tahap maha karya atau
magnum opus yang layak dibincangkan oleh penggiat-penggiat sastera. Ini ialah
blog yang sekadar mencoret dan merakam rasa hati, gerak hati dan fatwa hati saya sendiri tentang sesuatu perkara yang berlaku di dunia ini berdasarkan
sudut pandang saya yang saya sandarkan kepada setitis
ilmu dalam pelbagai bidang yang ada di dalam dada saya dan pengalaman yang
telah saya tempuh setakat hayat saya pada masa kini. Sekali-sekala saya akan mencadangkan buku-buku atau menulis komentar tentang karya-karya
tertentu untuk sorotan anda.
Mungkin ada di kalangan anda yang telah terjumpa blog-blog lain ciptaan saya sebelum ini dengan
tajuk-tajuk tertentu. Dimaklumkan bahawa semua blog itu telah menjadi blog yang
mati sebab saya sudah tidak ingat nama pengguna dan kata kunci semasa
mula-mula mencipta blog-blog itu. Dengan terciptanya blog terbaru ini yang saya asosiasikan dengan aplikasi-aplikasi Google yang lain, saya berharap
blog ini akan menjadi satu-satunya blog yang akan saya jadikan sebagai wadah
di antara saya dan anda untuk membaca gagasan dan idea saya.
Gambar di atas
menjadi latar bahagian pengatas blog ini.
Gambar di bawah
pula ialah versi penuh gambar di atas. Sebuah mesin taip berwarna biru jenama Olivetti
buatan Mexico model NOM-354-1 tahun 1990, diletakkan di atas sebuah meja kopi
bersama sarungnya sekali, juga berwarna biru, di hadapan rumah saya yang
menghadap sebuah padang dikelilingi pohon-pohon rimbun yang meredupkan suasana
yang menjadi tempat berekreasi warga perumahan ini. Saya telah membeli mesin
taip ini di Kedai Buku Ko-op USM dengan harga RM250 semasa belajar di dalam
Matrikulasi Tahun Kedua USM pada tahun 1992, menggunakan duit dermasiswa
kerajaan dan gaji bekerja sementara semasa cuti antara semester yang saya kumpul dan simpan.
Sungguh seronok
perasaan saya semasa mula-mula menggunakan mesin taip itu. Mekanisme ketukan
sungguh lancar tidak sangkut-sangkut dan dakwatnya pula terang apabila
menggunakan reben baru. Mesin taip ini telah banyak berjasa kepada saya.
Sebab itu saya tidak membuangnya apabila tahap upaya penggunaannya telah
merosot. Saya masih simpan dengan baik kerana setiap kali memandang mesin
taip ini, banyak kenangan melintas di hadapan mata dan ilham datang
mencurah-curah.
Ada banyak cerita
di sebalik mesin taip biru ini yang saya ingin kongsikan bersama anda sekalian.
Tiada sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan