Dalam
hidup berkeluarga dan berumahtangga, sistem sokongan amat diperlukan sekali.
Kalau baru saja berkahwin, apakah yang mungkin sepasang suami isteri amat
perlukan? Pada pendapat saya, yang paling diperlukan ialah rumah kelamin. Ini
ialah sistem sokongan yang utama. Dengan adanya rumah kelamin, yang ada ruang
bersendirian, sepasang suami isteri bebas melunaskan tanggungjawab berkelamin
di antara mereka berdua. Supaya selesa, kena masukkan bekalan elekrik dan air
sebagai perkhidmatan asas yang mesti ada di dalam sesebuah rumah.
Makan
minum pula adalah sistem sokongan kedua. Anda perlu bercucuk tanam atau bela ternakan
untuk mendapat sumber makanan. Sebidang tanah yang sesuai, cukup untuk
menghidupkan api dapur buat memasak makanan. Pada zaman sekarang ini, semua
barang makanan boleh dibeli di kedai. Jika malas masak, boleh sahaja beli di
kedai-kedai makan atau restoran-restoran.
Sistem
sokongan ketiga pula ialah keperluan untuk mendapatkan rawatan perubatan dan
penjagaan kesihatan. Apabila badan telah sakit-sakit atau terkena sesuatu
penyakit - klinik, farmasi dan hospital menjadi tumpuan untuk mendapatkan
rawatan daripada seorang pengamal perubatan dan bekalan ubat-ubatan.
Supaya
mudah untuk pergi ke tempat kerja atau hendak bergerak ke mana-mana, kemudahan
pengangkutan menjadi sistem sokongan keempat. Seringkas basikal, semurah
motorsikal, semahal kereta atau apa saja jenis kemudahan perkhidmatan awam, semua
itu merupakan alat-alat pengangkutan yang penting supaya mudah bergerak atau
membawa barang-barang dari satu tempat ke tempat yang lain.
Apabila
bilangan ahli keluarga semakin bertambah, anak-anak perlu dipelihara. Jika
isteri tak bekerja, dia boleh menjaga, memelihara dan merawat sendiri anak-anak
di rumah. Jika kedua-dua suami isteri bekerja, maka perlu ada tempat asuhan
anak-anak yang boleh mengasuh anak-anak tersebut sementara ibu bapa mereka
pergi bekerja. Ini juga suatu bentuk sistem sokongan yang amat diperlukan oleh
sesebuah rumahtangga.
Anak-anak
itu pula, jika sudah sampai umur persekolahan, perlu dihantar ke sekolah. Di
sekolah, anak-anak akan diajar, dididik dan dibekalkan dengan ilmu-ilmu
tertentu supaya apabila besar nanti, mereka boleh berdikari membina kehidupan
mereka sendiri. Pendidikan juga merupakan suatu bentuk sistem sokongan yang
memperkenalkan seseorang insan itu kepada dunianya dan bagaimana seharusnya dia
berinteraksi dengan persekitaran hidupnya. Kitaran hidup seseorang manusia itu
pula akan berulang apabila mereka pula berkahwin meneruskan zuriat manusia.
Demikian
kehidupan seseorang insan. Sentiasa ada sistem sokongan yang menyokongnya untuk
meneruskan kelangsungan hidup. Seseorang itu tidak dapat hidup secara
berseorangan, malah perlu hidup dalam satu kelompok masyarakat untuk saling
bantu-membantu di antara satu sama lain, yang akan memudahkan urusan kehidupan
masing-masing.
Ibarat
sepohon pokok yang baru hendak bertumbuh, perlu sistem sokongan seperti air,
cahaya, udara, baja dan perlindungan daripada penyakit, untuk membolehkan ia
membesar, berbuah dan memberi manfaat kepada manusia, haiwan dan alam sekitar
tempatnya tumbuh.
Tiada sekian.