Ketika memeriksa
beg sekolah anak sulung saya untuk menjadualkan buku-buku pelajaran yang
sepatutnya dia belajar pada keesokan hari, saya terjumpa sekeping kertas yang
tercoret sebuah sajak berjudul “Sajak Ibu Bapa”. Di bawah sajak itu ada
tertulis frasa ‘Terima kasih Ibu & Abah’ dan tandatangan dia sendiri.
Dia sudah ada
tandatangan sendiri semasa belajar pada Tahun 3! Kagumnya saya. Saya hanya ada
tandatangan sendiri semasa belajar dalam Darjah 6 sebab pada masa itu bapa saya
nak bukakan akaun Bank Simpanan Nasional saya. Oleh kerana borang permohonan
menyatakan bahawa pemohon yang mesti tandatangani borang itu, pada ketika
itulah baru saya terkial-kial mencipta tandatangan sendiri untuk mengesahkan borang
permohonan tersebut.
Perkara yang lebih
mengkagumkan saya ialah dia sudah pandai menulis sajak yang lahir daripada
sanubarinya sendiri. Perasaan saya amat tersentuh. Isteri saya turut rasa
terharu. Kami kini mengerti bahawa anak-anak kami sudah ada daya fikir dan daya
hayat sendiri yang sedia untuk dieksploitasi. Mereka melihat kami, menyaksikan
apa yang kami buat dan memerhati apa reaksi kami terhadap apa yang berlaku di
sekeliling. Oleh kerana kami hanya buat perkara-perkara baik dan mencontohkan
perkara-perkara baik, mereka ingin buat dan menghayati perkara-perkara baik
yang kami contohkan kepada mereka dan mereka akan nyatakan perasaan terkilan
mereka jika mereka tak dapat buat perkara-perkara baik itu.
Ketika saya hendak
basuh dan cuci bilik mandi dengan menyental dinding berlumut hijau, mereka
ingin menolong, nak cuba cara menyental dinding bilik mandi dan nak rasa
kepayahan mencuci lantai yang berdaki, tetapi saya menafikan tawaran mereka yang
hendak menolong saya, dan mereka mengadu dengan ibu mereka yang mereka ingin
tolong saya tapi saya tak benarkan mereka tolong saya hingga menyebabkan mereka
merajuk dan jauh hati. Bila isteri saya melaporkan kepada saya hasrat mereka,
barulah saya bagi tugasan yang sepatutnya kepada mereka dan mereka melakukannya
dengan cara yang betul dan bersungguh-sungguh. Mereka menolong saya
membersihkan bilik mandi depan dan belakang dengan penuh rasa seronok walaupun kepenatan.
Sekarang ini cuti
sekolah datang lagi. Mereka ternanti-nanti apa lagi projek pembersihan rumah
yang saya nak buat pula, supaya mereka boleh tolong apa yang patut dan ingin terlibat
sama di dalam kerja-kerja membersih rumah.
Kami suami isteri
tak pernah buat perkara buruk dan membiarkan mereka menonton perkara buruk
daripada kami. Itu salah satu kaedah yang kami suami isteri telah setuju dalam
cara mendidik anak-anak. Kami sentiasa buat perkara baik di hadapan anak-anak,
membiarkan mereka melihat perkara baik yang kami buat, dan bila ada waktu senggang
bersama mereka, kami akan membincangkan contoh-contoh perkara baik yang boleh
mereka ikut, di antaranya ialah apa yang telah kami buat di hadapan mereka yang
mungkin mereka tak faham maksud perlakuan kami yang telah kami tunjukkan kepada
mereka supaya penglihatan mereka terhadap perbuatan baik itu akan didaftar di
dalam memori ingatan mereka.
Saya mendidik anak
bukan dengan cara bercakap dan menerangkan sepatah kata demi sepatah kata yang dipantak
ke dalam otak anak. Mereka mungkin dengar, tetapi mereka tak faham. Untuk
masukkan faham ke dalam hati, saya mencontohkan perbuatan baik di hadapan
mereka, bila mereka dah buat, baru saya terangkan dengan kata-kata ringkas dan
ayat yang paling mudah difahami.
Contohnya, jika
singgah di mana-mana surau atau masjid untuk solat, selepas solat saya akan
berikan sedikit duit kepada mereka dan minta mereka masukkan duit ke dalam
tabung surau atau masjid. Bila dah masuk ke dalam kereta, saya akan jelaskan
kepada mereka bahawa perbuatan masukkan duit ke dalam tabung surau atau masjid
itu namanya bersedekah dan bila kita bersedekah kita akan dapat pahala serta
malaikat akan mendoakan perjalanan kita supaya sentiasa selamat sehingga tiba
ke tempat dituju. Biasanya pada ketika inilah akan berlaku sesi soal jawab dan
saya akan jelaskan kepada mereka dengan bahasa paling mudah supaya mereka faham
apa yang saya jelaskan.
Saya memerhati
bahawa mendidik anak-anak pada zaman ini lebih mencabar daripada zaman ibu bapa
saya mendidik saya dan adik-adik saya dulu. Pada zaman sekarang, saya melihat
anak-anak saya terdedah dengan seluas-luasnya kepada bermacam bentuk maksiat
dan perkara keji yang telah dicantikkan sebagai perkara makruf dan kelihatan
suci. Saya akan lekas-lekas beritahu mereka bahawa yang buruk itu buruk dan
dijadikan sempadan supaya jangan didekati atau dibuat ikutan. Manakala bagi
perkara baik, saya akan beritau mereka itulah sepatutnya yang kita mesti buat
dan jangan lengah melakukannya, takut-takut kita tak akan diberi kesempatan
oleh Allah untuk buat perkara baik itu.
Saya selalu berdoa
agar Allah membimbing hati dan fikiran anak-anak saya ke arah jalan kebaikan
yang lurus dan mendorong mereka untuk jauh daripada jalan yang sesat dan jalan yang
dimurkaiNya.
Tiada sekian.
Dituliskan
semula sajak yang telah ditulis oleh anak saya, kalau-kalau ada Pembaca yang
tak boleh lihat gambar yang diselit di dalam entri pada kali ini.
Sajak Ibu Bapa
Ibu dan Ayah adalah
Ratu dan raja hatiku,
Tanpa mereka ku
rasa sayu, senyuman
ibuku sangat mekar.
Ayahku pula sangat
garang, biar pun ku dirotan
itulah makna rasa sayang
dan cinta kepadaku.
Ku tak pernah memaki
Ibu dan Ayahku, apa yang
tersilap dalam diriku
ampunilah dosaku.
Ibu dan Ayah adalah
cahaya petunjuk
kepadaku.
Terima kasih Ibu dan Abah
Huda
Tiada ulasan:
Catat Ulasan