Semasa
bulan Ramadhan yang lalu, saya telah balik ke rumah ibu bapa saya di Taman
Soga, Batu Pahat. Pada sebelah tengah hari, ibu saya mengadu bahawa bil air
rumah sangat tinggi mencecah lebih RM100.00 sebulan. Saya berasa hairan
bagaimana boleh jadi sebanyak itu. Saya mengesyaki ada kebocoran di dalam
sistem paip air rumah ibu bapa saya. Ibu saya mengaku memang ada bocor dan ia
ada di depan rumah, betul-betul di sebelah pintu pagar. Bila saya periksa,
memang ada bocor pada injap yang menerima air bukit.
Rumah
ibu bapa saya terima 2 sumber air, satu daripada SAJ (Syarikat Air Johor) dan
satu daripada mata air yang bersit daripada lereng bukit yang terletak
betul-betul di hadapan kawasan perumahan. Baru-baru ini, mata air itu sudah
tidak memancarkan air daripada bawah bumi, jadi injap itu dan paip air bukit
yang disambungkan kepadanya dan seluruh sistem perpaipan air bukit yang masuk
ke rumah-rumah di kawasan itu kosong tidak berair, malah berisi udara kosong.
Ini menyebabkan hanya air dari sumber SAJ sahaja yang masuk ke dalam sistem
perpaipan air domestik. Jika hal ini berlaku, injap itu mesti ditutup supaya
air dari sumber SAJ tidak masuk ke dalam injap air bukit.
Malangnya,
dalam kes rumah ibu bapa saya, injap itu telah tidak ditutup. Bila dibiarkan
sekian lama, butang untuk menutup injap tidak berfungsi, mungkin telah ketat
akibat karat dalaman. Akibatnya air sumber SAJ melimpah masuk ke dalam injap
air bukit.
Oleh
kerana tekanan air sangat kuat, ia telah meretakkan badan pelindung injap
menyebabkan air memancut keluar melalui rekahan kecil. Selama lebih setahun
keadaan pancutan kecil ini tidak dibaiki menyebabkan bil air rumah naik
mendadak mencecah lebih RM100.00 sedangkan penghuni rumah hanya bertiga, iaitu
ibu, bapa dan adik bongsu saya.
Ibu
saya telah berbincang dengan bapa saya supaya mengambil langkah untuk membaiki
kebocoran paip air yang telah dikesan. Bapa saya pula telah tua dan mula
ingat-ingat lupa. Oleh itu tiada apa-apa tindakan yang telah diambil. Jadi saya
mengambil keputusan untuk menyelesaikan sendiri masalah paip bocor itu tanpa
berunding dengan bapa saya. Saya mendirikan solat sunah hajat 2 rakaat dan
berdoa agar Allah mengilhamkan saya apa yang patut saya buat untuk mengatasi
masalah yang dibangkitkan oleh ibu saya.
Saya
memeriksa sistem paip bekalan air domestik yang masuk ke dalam rumah ibu bapa
saya. Saya dapati kalau saya tutup bekalan air SAJ, tiada pancutan kecil yang
keluar dari rekahan injap air bukit. Akan tetapi, tiada air yang masuk ke dalam
tangki penerima di dalam rumah. Oleh itu, saya memutuskan untuk memisahkan
bekalan air bukit daripada sistem paip air domestik.
Caranya,
buka penyambung yang menghubungkan sistem paip air bukit dengan sistem paip air
domestik dan kemudian sumbat lubang yang terbuka itu dengan plug atau penyumbat
yang sesuai dengan saiz paip. Malangnya, rumah ibu bapa saya tiada alat
perkakas yang boleh saya guna. Kotak alat perkakas milik saya pula tertinggal
di rumah, walaupun sebelum itu saya biasa bawa bersama setiap kali pergi ke
mana-mana sebagai persediaan membuat kerja-kerja pembaikan kereta pada
waktu-waktu kecemasan di tengah jalan.
Saya
keluar mencari kedai menjual alat perkakas. Tiba di tengah bandar saya berasa
pelik kenapa semua kedai menjual alat perkakas tidak berniaga. Kemudian baru
saya teringat, kebanyakan kedai dan bank di kawasan bandar ditutup pada hari
Ahad, walaupun Ahad bukanlah hari cuti rehat bagi negeri Johor. Jumaat pula
telah dikembalikan sebagai hari cuti rehat bagi negeri Johor menggantikan hari
Ahad.
Dalam
keadaan termangu itu, saya teringat seorang kawan sekolah menengah yang
sekarang telah menjadi kontraktor di bandar ini. Saya segera hubungi beliau dan
bertanya kedai mana yang buka perniagaan pada hari Ahad. Dia terus menyebut
lokasi kedai itu tetapi dia tidak ingat nama kedai. Saya tahu di mana lokasi
yang beliau maksudkan dan kalau tiba di sana hanya ada satu kedai alat perkakas
yang buka, memang itulah kedainya.
Bila
tiba di Taman Pasifik Selatan berdepan dengan Kampung Istana, saya nampak ada
sebuah kedai alat perkakas yang terletak di hujung sekali – BING HWA, nama itu
terus lekat dalam ingatan saya. Apabila masuk ke dalam kedai, saya dapati kedai
itu ada menjual semua alat perkakas dan pertukangan tangan yang diperlukan
untuk semua tujuan kerja. Saya bertanya kepada pembantu kedai akan masalah saya
sambil menunjukkan gambar sistem paip yang telah saya tangkap dan bertanya kalau
dia ada penyumbat yang sesuai dengan saiz yang saya perlukan. Dia terus menuju
ke rak dan mengeluarkan satu penyumbat yang memang sesuai dengan saiz tersebut.
Saya bertanya kalau dia ada spanar hidup yang sesuai untuk saya guna. Dia kata
tak perlu guna guna spanar hidup, lebih baik guna playar hidup yang memang khas
untuk memasang sistem paip. Kemudian saya beli beberapa lapik untuk dililit
pada pilin penyumbat.
Setelah
tiba di rumah, saya tutup bekalan air SAJ. Saya buka penyambung yang
menghubungkan sistem bekalan air bukit dengan sistem bekalan air domestik.
Saya ambil penyumbat dan melilitkan lapik putih
pada pilin penyumbat agak tebal. Bila saya masukkan penyumbat itu ke dalam
lubang yang terbuka, saya dapati ia boleh dipulas dan saya kunci ketat-ketat
supaya boleh menahan tekanan tinggi air dari SAJ.
Pada
Hari Raya Aidilfitri yang lalu, saya bertanya kepada ibu saya berapa banyak bil
air bulan itu. Ibu saya kata dalam RM20.00 nak dekat RM30.00. Saya percaya saya
telah dapat menyelesaikan masalah paip air bocor di rumah ibu bapa saya.
Terima
kasih Amara di atas bantuanmu. Tak sia-sia kau jadi kontraktor sivil.
Tiada
sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan