Kini
saya telah masuk ke dalam kelab 40an, iaitu kelab orang-orang yang sudah
berusia 40 tahun. Tak lama lagi, mungkin akan masuk ke kelab 50an, 60an,
mengikut berapa panjang usia yang telah Allah tetapkan untuk kita.
Dalam
masa lebih 40 tahun hidup ini, saya telah menempuh berbagai peristiwa, melalui
berbagai suasana, mengalami berbagai proses biologi yang mempengaruhi jiwa,
pemikiran dan perwatakan saya, dan tidak kurang juga banyak rahsia orang-orang
di sekeliling saya yang saya pernah hidup bersama atau berurusan, yang telah
saya lihat sendiri atau mendengar sendiri perakuan mereka atau yang dikhabarkan
kepada saya oleh orang-orang kepercayaan mereka.
Semua
orang ada rahsia diri mereka sendiri. Ada yang aib, ada yang jenis bakat
terpendam, ada yang merupakan kelebihan yang tidak mahu ditonjolkan. Pada zaman
sekarang ini, ada sebilangan orang mempunyai alter-ego, kalau apa yang mereka
inginkan tidak dapat dicapai dengan penampilan diri mereka yang biasa-biasa,
mereka akan mengenakan sisi alter-ego mereka untuk mencapai matlamat mereka. Sebilangan
orang pula menonjolkan avatar mereka untuk melindungi diri sebenar mereka,
supaya orang tak tau siapa punya angkara apabila berlaku sesuatu musibah – saya
berpendapat, keadaan alter-ego dan avatar itu, lebih merupakan keadaan mental
atau psikologi yang tidak dapat mereka selesaikan dalam diri mereka.
Sewaktu
melalui hidup seharian, kita pasti akan membawa tubuh badan kita sendiri ke
mana sahaja. Bersama tubuh badan kita itu, kita akan membawa jiwa, perasaan, pemikiran,
sikap dan pendirian kita. Apa-apa sahaja yang orang lain melihat diri kita
semasa kita berdiam diri, bercakap, beraksi, membuat tindakan tertentu – itu adalah
luaran yang mereka boleh buat tanggapan sendiri tentang siapa diri kita. Mereka
tidak akan pernah tahu apa yang sebenarnya berlaku di dalam dalaman diri kita.
Ada orang yang kelihatan gembira, tetapi hatinya menangis. Ada yang raut
mukanya seperti garang, tapi berjiwa romantis leleh air amata. Kita kata orang
itu berpura-pura suka sedangkan hatinya duka – itu adalah persepsi kita.
Rahsia
adalah sesuatu yang kita tidak tahu, tidak nampak, tidak boleh dirasa atau
dikesan, atau yang tidak diberitahu kepada kita.
Kalau
kita dah mula berangan-angan untuk ada pasangan sejak baligh, dan sekarang kita
sudah berkahwin, bahagia bersama pasangan dan anak-anak di sisi, dalam tempuh
itu, sudah berapa ratuskah babak drama sedih dan ria yang telah kita jayakan?
Harapan untuk hidup bersama tidak tercapai, pasangan kita minta putus hubungan
dengan kita, tiba-tiba kita muflis hingga tak ada duit nak kahwin menyebabkan
putus tunang, bagi yang dah berkahwin nak bercerai pula dengan seribu satu
macam alasan.
Itu
semua didorong oleh faktor rahsia dalam diri yang telah tersimpan lama sejak
zaman silam, yang orang sekeliling tak tahu dan tidak akan menyangka bahawa
seseorang itu ada sikap tertentu sedemikian rupa.
Saya
sendiri, apa-apa aib orang yang saya tahu, saya akan zip ketat-ketat mulut saya
dan pasung kuat-kuat jari-jemari saya, yang saya tidak akan beritahu orang lain
– saya anggap itu amanah yang Allah letakkan kepada saya untuk saya serah balik
kepadaNya semasa perbicaraan di Padang Mahsyar pada Hari Kiamat nanti. Aib saya
pula, jika ada orang tahu, saya harap Allah yang tutup aib itu kerana saya
tiada kuasa untuk mempengaruh orang lain supaya jangan heboh-hebohkan aib saya –
kalau orang nak heboh juga, sesungguhnya tiada daya dan kekuatan kecuali Allah,
kepada Allah saya berserah.
Tiada
sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan