The Protocols
of the Elders of Zion mungkin merupakan hasil kerja pemalsuan yang paling
merosakkan pada zaman moden, dan ia adalah contoh hasil kerja seni pemalsuan yang
paling teruk. Namun, fitnah anti-Semitik
yang amatur ini telah diambil serius selama lebih dari satu abad, dan telah
menyebabkan kerosakan yang tidak terkira.
Pada bulan Mei 1920, The Times London telah menyiarkan sebuah rencana tentang sebuah buku,
yang baru diterbitkan untuk pertama kalinya dalam Bahasa Inggeris. Buku itu dipanggil
The Jewish Peril, yang dimaksudkan
sebagai sebuah program politik sebuah kumpulan rahsia Yahudi yang dikenali
sebagai Pemuka-pemuka Zion. Program itu dalam bentuk 24 buah protokol – berupa
catatan minit suatu mesyuarat, yang kononnya telah diadakan mungkin dua atau
tiga dasawarsa sebelumnya. Tidak dijelaskan siapakah nama-nama para Pemuka itu,
atau di manakah dan bilakah mesyuarat rahsia itu diadakan, tetapi cita-cita mereka
sebagaimana dinyatakan di dalam teks merupakan sebuah pengalaman pembacaan yang
menakutkan.
Menurut buku tersebut, matlamat para Pemuka Zion
adalah untuk menguasai dunia, membentuk sebuah negara global yang dikawal oleh
mereka dan wakil-wakil mereka. Tujuan ini dicapai dengan cara memanipulasi
sistem kewangan global, merosakkan akar nilai-nilai Kristian dan tamadun, dan
merampas kerajaan-kerajaan dunia satu demi satu dengan cara kawalan di sebalik
tabir. Kaedah lain ialah dengan cara halus menyelinap di dalam
syarikat-syarikat akhbar, menyebarkan pornografi dan memesongkan sistem
pendidikan. The Times menyatakan
bahawa sesetengah elemen di dalam program Pemuka Zion itu telah pun dizahirkan
dalam bencana terkini apabila meletusnya Perang Dunia Pertama dan bangkitnya rejim
militan komunis di Rusia.
Itu sahaja seolah-olah cukup menjadi alasan untuk
memandang dokumen itu dengan serius. Salah satu daripada protokol itu telah
dibaca seperti berikut: 'Kita harus tahu bagaimana untuk menyita harta kekayaan
tanpa ragu-ragu, jika dengan berbuat demikian kita akan beroleh kedudukan dan
kuasa yang tinggi.’ Kenyataan itu seperti menerangkan, bukan sebuah ramalan,
tentang kejayaan Bolshevik di Rusia. Kepimpinan Bolshevik, menurut The Times, mengandungi 'peratusan orang
Yahudi yang tinggi'. Perenggan lain pula dibaca seperti berikut: 'Kita akan mencipta
krisis ekonomi sedunia dengan menggunakan emas, yang semuanya berada di dalam
genggaman kita.' Ini seolah-olah seperti perakuan orang-orang tamak yang sangat
berpengaruh daripada tokoh-tokoh kewangan Yahudi yang datang daripada keluarga
yang kaya raya seperti Rothschilds dan keluarga-keluarga lain. Ringkasnya, teks
tersebut menjelaskan kenyataan-kenyataan yang saling bercanggah di mana
orang-orang Yahudi boleh muncul sebagai pemodal-pemodal yang kaya raya dan pada
masa yang sama menyelami pergerakan revolusi dengan mendalam. Kononnya, ia
telah menjadi sebahagian daripada konspirasi Yahudi semenjak zaman silam hingga
kini.
The Protocols
of the Elders of Zion diambil daripada hasil kerja seorang rahib Rusia bernama
Sergei Nilus. Ia telah muncul sebagai lampiran-lampiran yang tidak berapa
teratur bagi suatu buku meditasi agama berjudul The Great Within the Small, yang telah diterbitkan pada tahun 1905.
Tidak berapa lama selepas itu, lampiran-lampiran The Protocols telah dipisahkan menjadi sebuah buku berasingan, dan
telah diterjemahkan kepada bahasa-bahasa lain. Nilus sering menulis bahagian
pengenalan yang telah diubahsuai bagi edisi-edisi baru, di mana dia menjelaskan
asal-usul dokumen yang menakjubkan itu. Akan tetapi penjelasannya sering
berubah-ubah dari satu versi buku ke satu versi buku yang lain. Kadangkala,
menurutnya The Protocols diambil dari
peti simpanan sebuah organisasi yang dipanggil ‘The Society of Zion’, yang
terletak di Perancis; Kadangkala, menurutnya lagi, dokumen itu telah dibocorkan
kepada sumbernya oleh seorang wakil yang telah hadir di dalam Kongres Zionis
Sedunia yang pertama kali diadakan di kotaraya Basel, Switzerland pada tahun
1897; dan kadangkala di dalam versi yang lebih berahi, bahawa ada seorang
wanita telah mencurinya daripada seorang Freemason bangsa Perancis berpangkat
tinggi (setelah wanita itu tidur bersama temannya semalaman, tegas Nilus).
Yahudi Antarabangsa
Selepas Perang Dunia Pertama, The Protocols telah tersebar keluar dari Eropah Timur. Ia telah diterbitkan
di Jerman pada tahun 1919, dalam edisi yang lebih tebal berserta nota-nota
penjelasan tambahan, dan telah dibaca dengan bersungguh-sungguh oleh Adolf
Hitler. Ia juga telah sampai ke Amerika Syarikat, di mana Henry Ford, seorang
industrialis, telah menunjukkan minat yang amat mendalam. Dua minggu setelah The Times menzahirkan perhatiannya
tentang perancangan Yahudi untuk mengambil alih dunia, Ford telah memberi restu
penerbitan satu siri rencana berjudul The
International Jew: The World’s Foremost Problem, yang telah disiarkan di
dalam suratkhabar milik syarikatnya, The
Dearborn Independent. Rencana-rencana itu terbit pada setiap minggu selama
hampir dua tahun, dan setelah tamat, ia telah diterbitkan dalam bentuk buku
setebal empat jilid, yang telah dijual dengan harga satu dollar setiap set. (Penerbitan
koleksi itu telah diberikan subsidi yang banyak oleh Ford.) Siri penerbitan suratkhabar
dan set buku itu mengandungi teks lengkap The
Protocols, bersekali dengan ulasan terperinci tentang kaitannya dengan
situasi politik semasa di Amerika Syarikat dan tempat-tempat lain di seluruh
dunia. 'Ia sepadan dengan apa yang sedang terjadi,' kata Ford.
Tetapi kemudiannya, sesetengah orang telah menghidu
bibit-bibit kebencian anti-Semitik. Kira-kira setahun selepas The Times menerbitkan rencana asal, ia
telah menyiarkan sebuah cerita yang ditulis oleh koresponden asingnya, Philip Graves,
yang membuktikan bahawa The Protocols
adalah sebuah hasil kerja pemalsuan. Graves berpangkalan di Istanbul, yang
padat dengan penghijrah-penghijrah Rusia anti-Bolshevik. Pada suatu hari dalam
tahun 1921, seorang kenalannya berbangsa Rusia telah menyerahkan suatu skup
dalam bentuk buku yang telah lunyai. Ia dalam Bahasa Perancis, dan kulit muka
depannya telah hilang. Rakan Graves kata ia adalah sebahagian daripada buku-buku
yang dibeli secara pukal daripada seorang Rusia yang lain, iaitu seorang bekas
anggota polis rahsia Kerajaan Tsar Rusia. Berdasarkan jenis tipografi, Graves
dapat menelah bahawa buku itu telah diterbitkan di dalam tahun-tahun 1860an
atau 1870an. Perkataan 'Geneva' telah ditulis tangan pada bahagian mukaddimah.
Apa yang mengejutkan ialah buku itu menyerupai
dengan ketaranya The Protocols yang
dihasilkan oleh Nilus. Sebenarnya, adalah sangat nyata bahawa sebahagian besar The Protocols telah disalin atau
disesuaikan dengan begitu minimum sekali daripada buku Bahasa Perancis yang
tidak dapat dikenalpasti itu. Akan tetapi, buku Bahasa Perancis itu langsung
tiada kaitan dengan konspirasi Yahudi; malah tiada satu perkataan pun yang
merujuk kepada orang Yahudi yang telah disebut di dalamnya. Buku itu
mengandungi transkrip perbualan khayalan di antara seorang diplomat berbangsa
Itali zaman pertengahan bernama Niccolo Machiavelli dan seorang pemikir
berbangsa Perancis abad ke-18 bernama Montesquieu. Dalam perbincangan mereka,
Machiavelli memperincikan kaedah-kaedah yang teruk yang boleh digunakan oleh
seseorang pemerintah atau sesebuah
kerajaan yang kejam untuk mengawal rakyat mereka. Ulasannya yang ironi adalah
suatu yang jelas dan merupakan (pada masa masa itu) jenaka satira yang merujuk
kepada rejim pemerintahan Perancis di bawah Napoleon III. Namun, pengarang The Protocols telah membuang teks yang
merujuk kepada unsur-unsur satira, malah telah menambah teks yang kononnya
kata-kata yang teruk itu dituturkan oleh para Pemuka Yahudi, dan telah
menyebarkan keseluruhan teks sebagai sebuah cetak biru yang serius dalam usaha
untuk menguasai seluruh dunia.
Suatu kerja penyiasatan yang telah dibuat di
Perpustakaan British, menunjukkan bahawa ‘Geneva
dialogues’, iaitu nama sementara yang diberikan oleh Graves kepada buku
yang lunyai itu, sebenarnya ialah sebuah buku yang berjudul Dialogues in Hell, ditulis pada tahun
1864 oleh seseorang yang bernama Maurice Joly. Beliau seorang penulis satira
Perancis – bukan seorang Yahudi dan bukan juga seorang anti-Yahudi. Beliau
mungkin akan berasa kesal jika tahu bagaimana karya parodi politiknya telah
dipinda beberapa kali. Berdasarkan kepada sebuah analisa Graves yang lebih
menyeluruh dan terperinci, tidak diragukan lagi bahawa The Protocols adalah sebuah karya pemalsuan yang amat mentah, iaitu
pemalsuannya amat mudah untuk dikesan. Graves telah membuat kesimpulan bahawa
kerja-kerja pemalsuan itu telah dilakukan 20 tahun sebelumnya oleh polis rahsia
Rusia. Tujuan mereka, dan sebab mereka memberi naskhah tulisan Maurice Joly
kepada Sergei Nilus untuk dirombak, adalah untuk menghalang Tsar Nicholas II
daripada memberi restu kepada usaha-usaha reformasi yang dipaksakan ke atasnya sewaktu
bibit-bibit awal kebangkitan Revolusi Rusia pada tahun 1905. Sekiranya Tsar
boleh dipujuk dan diberikan penerangan bahawa orang-orang Yahudilah yang
menjadi dalang di sebalik gelora politik yang sedang berlaku di Rusia,
berkemungkinan baginda akan menghalang percubaan untuk mengubah perlembagaan
negara.
Di Perkuburan Prague
Akan tetapi, tidak semua teks The Protocols disesuaikan daripada hasil kerja Maurice Joly. Oleh
kerana buku karangan Joly langsung tiada kena mengena dengan Yahudi, idea
perancang rahsia yang terdiri daripada Pemuka-pemuka Yahudi datang daripada
sumber lain. Apabila The Protocols
hampir-hampir boleh didapati di Jerman, sumber idea itu telah dapat
dikenalpasti. Pada tahun 1868, seorang Jerman bernama Hermann Goedsche, yang menulis
menggunakan nama pena yang tidak meyakinkan, iaitu Sir John Retcliffe, telah menerbitkan
sebuah novel berjudul Biarritz.
Goedsche adalah seorang bekas pesalah membuat dokumen palsu, aktivis politik
dan anti-Semitik yang melampau. Novelnya mengandungi sebuah bab yang agak
mengejutkan berjudul ‘In the Jewish
Cemetery in Prague’, yang menceritakan sebuah pertemuan rahsia pada suatu
tengah malam yang dihadiri oleh dua belas ketua kabilah Israel. Pada pertemuan
itu, menurut penulisnya, berlaku setiap sekali dalam seratus tahun, ketua-ketua
Yahudi memberi laporan kemajuan yang telah mereka capai sepanjang seabad yang
lalu; bagaimana akar umbi nilai-nilai Kristian telah dicabut, orang ramai
dihambat untuk memulakan sebuah revolusi, kerosakan kesolehan wanita-wanita
Kristian. Di penghujung pertemuan itu, ketua-ketua Yahudi itu telah menyembah jelmaan
seekor anak lembu emas yang keluar daripada kubur seorang rabbi. Kemudian
mereka telah berlutut di hadapan Syaitan itu sendiri.
Fantasi Goedsche yang sangat mengujakan itu tidak
terkubur di dalam novelnya. Episod di kawasan perkuburan itu telah diekstrak,
kandungan yang mengejutkan telah disunting keluar, dan dua belas laporan telah
ditulis semula sebagai sebuah monolog. Dalam bentuk ini, ia telah dibawa keluar
dari Jerman dan dibawa ke Rusia, di mana ia kemudiannya telah diterbitkan
sebagai sebuah risalah yang diberi nama The
Rabbi’s Speech. Tiada sebarang tanda yang menunjukkan bahawa risalah itu
adalah sebuah karya fiksyen; ia telah dipersembahkan sebagai sebuah dokumen
yang mengandungi maklumat yang benar. Jadi, The
Rabbi’s Speech telah menjadi dokumen prototaip sekaligus salah satu sumber
untuk mencipta The Protocols. Ia
sering diedarkan di jalanan sebagai bibit-bibit permulaan sebuah pogrom, yang
telah menyusahkan orang-orang Yahudi di dalam Empayar Rusia pada awal abad ke-20.
Orang ramai akan membacakan risalah itu di hadapan orang-orang Yahudi,
menceroboh dan merosakan sinagog, menginjak-injak Kitab Taurat dan membantai mati
jiran-jiran mereka yang berketurunan Yahudi yang disyaki.
Perbicaraan di Switzerland
Kebenaran tentang The Protocols telah diketahui menjelang pertengahan 1920an. Namun,
itu tidak menghentikan pengedarannya. Pada tahun 1934, penerbit The Protocols edisi Bahasa Swiss telah
disaman oleh seorang peguam Yahudi kerana telah menerbitkan ‘bahan bacaan yang
mengarut’. Hakim dalam kes itu, Walter Meyer, telah memeriksa dengan teliti
perincian setiap bukti yang menjadi asal-usul kepada buku The Protocols, dan telah mengisytiharkan pada akhir perbicaraan: 'Saya
harap akan datang masanya, bila tiada siapapun yang akan faham bagaimana
sekumpulan orang tua yang waras sanggup menyiksa fikiran mereka untuk
menghasilkan sebuah dokumen tulen apa yang dipanggil The Protocols, yang mana, sekalipun ada bahaya yang mereka telah
buat atau mungkin belum buat lagi, adalah tidak lebih daripada hal-hal karut
yang melampau.’
Keputusan perbicaraan itu sepatutnya menjadi
penamat kepada The Protocols. Akan
tetapi, buku itu telah mendapat sambutan yang sangat hangat di pasaran. Pada
waktu Hakim Meyer mengumumkan keputusannya, Nazi telah berkuasa di negara
jirannya di Jerman selama dua tahun. Mereka telah mengedarkan jutaan naskhah The Protocols kepada murid-murid sekolah,
yang telah diajarkan bahawa buku itu adalah sebuah dokumen sejarah yang memberitahu
mereka apa yang mereka perlu tahu tentang seseorang Yahudi. Di Jerman, The Protocols telah menjadi sebab
pembunuhan beramai-ramai ke atas orang-orang Yahudi.
Kemudian, kekalahan fahaman Nazi juga tidak dapat
menghapuskan The Protocols. Selepas
penciptaan negara Israel, ia beredar di dalam Bahasa Arab di seluruh Timur
Tengah. Edisi ilustrasi telah diterbitkan di Sepanyol pada tahun 1964. Ia telah
diterbitkan di Bombay pada tahun 1974, dengan judul International Conspiracy Against Indians. Ia muncul untuk pertama
kalinya dalam Bahasa Jepun pada tahun 1987. Golongan neo-fasis Rusia telah
menerbitkan semula karya asal yang dibuat oleh Sergei Nilus pada tahun 1992, sebaik
sahaja bubarnya Kesatuan Soviet. (Pada masa yang sama, sejarahwan Rusia akhirnya
telah mendedahkan nama orang yang pertama sekali mencampur-adukkan berbagai
sumber rujukan untuk menghasilkan dokumen palsu The Protocols. Beliau ialah Matvei Golovinsky, seorang anggota
polis rahsia berpangkat rendah.) Pada tahun 1994, pelampau Kristian di Australia
telah mencetak versi yang telah diperbaharui di dalam Bahasa Inggeris. Dan pada
hari ini, perancangan para Pemuka Zion boleh didapati dalam bahasa-bahasa lain
di internet, di mana setiap satu daripada 24 buah protokol itu boleh dicapai dengan
mudahnya menerusi hiperpautan.
Hampir satu abad telah berlalu sejak The Protocols telah didedahkan sebagai
dokumen palsu, berminda sempit dan hasil kerja plagiat – namun ia tetap akan
diingati dan diyakini sebagai dokumen yang benar-benar asli. Ia telah menjadi
sebuah fitnah yang tidak boleh dihancurkan, sebuah pembohongan yang tidak boleh
dinafikan sebagaimana suatu tatu Auschwitz.
Nota kaki:
1. Rencana di atas adalah terjemahan secara bebas yang mengekalkan konteks asal daripada sebuah rencana di dalam Bahasa Inggeris berjudul 'The Eternal Lie' yang telah dimuatkan di dalam buku Great Secrets of History - Gripping stories of truth and lies, deception and discovery terbitan Reader's Digest, 2013. Kredit kepada panel penulis Reader's Digest iaitu Jonathan Bastable, Antony Mason dan Tony Allan.
2. Untuk membaca rencana asal, anda boleh beli buku tersebut secara langsung daripada Reader's Digest kerana buku-buku terbitan khas syarikat itu sukar didapati di rak kedai-kedai buku Malaysia. Rencana asal tidak boleh diterbitkan semula dalam apa saja bentuk kecuali mendapat izin penerbit. Namun saya sertakan foto buku tersebut supaya senang anda merujuknya jika ingin beli daripada pengedarnya, iaitu Reader's Digest Malaysia.
3. Penerbitan rencana yang saya terjemahkan sendiri ini, di dalam blog saya, semata-mata bertujuan berkongsi pengetahuan umum dan tidak bermaksud meraih keuntungan komersial untuk diri saya. Alat bantu yang saya guna untuk menterjemahkan rencana ini ialah SDL Free Translation secara online, The Oxford English Dictionary, Kamus Melayu-Inggeris Dewan, Kamus Dewan dan Tesaurus Bahasa Melayu Dewan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan