Isnin, 21 September 2015

Entri 009 Promosi Buku: “What To Say When You Talk To Yourself”



Daripada pakar psikologi terkenal, Dr Shad Helmstetter, menghasilkan panduan mengubah kehidupan diri sendiri untuk membantu anda melalui kaedah motivasi cakap-kendiri dan pemikiran positif.

Bayangkan anda bergantung kepada diri anda sendiri untuk memperelokkan penampilan diri, fokus kepada perancangan anda, dan kekal berada dalam keadaan terbaik, sentiasa dalam keadaan terbaik dan berusaha untuk menjadi terbaik! Anda boleh melakukannya, dengan cara menyesuaikan diri anda dengan teknik mudah cakap-kendiri yang tertentu, dan memahami kuasa ungkapan-ungkapan seperti:
  • Saya memilih pemikiran saya. Tiada pemikiran, pada bila-bila masa, boleh bersarang di dalam minda saya tanpa izin saya.
  • Saya ada bakat, kemahiran dan kebolehan – dan saya sentiasa meneroka bakat baru dalam diri saya pada bila-bila masa.
  • Saya ambil masa untuk mendengar dan bertutur. Saya seorang penyabar dan memahami. Ia amat berbaloi dan saya melakukannya.
  • Saya beri perhatian terhadap perkara yang saya boleh kawal. Jika saya tidak memberi kesan ke atas perkara itu atau tidak boleh memberi arahan kepada perkara itu – saya terima.
  • Saya percaya bahawa apa yang saya percaya tentang diri saya ialah apa yang saya akan jadi nanti – jadi saya hanya percaya yang terbaik buat diri saya.

Dr Shad Helmstetter membimbing anda bagaimana untuk menjadikan cakap-kendiri positif sebagai suatu tabiat yang kekal. Berikanlah kepada diri anda sendiri atau sebagai sokongan mantap kepada sahabat baik anda. Kenakanlah kuasa motivator terunggul kepada diri anda.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh akses hyperlink berikut,

https://www.tripleclicks.com/15860389/detail.php?item=403675

From acclaimed psychologist Dr. Shad Helmstetter comes a life‑changing guide to helping you help yourself through motivational self‑talk and positive thinking.

Imagine relying on yourself to optimize your outlook, focus your plans, and keep you on top, in touch, and going for it! You can do it, by adopting the simple techniques of self‑talk, and understanding the power of key phrases like these:

* I choose my thoughts. No thought, at any time, can dwell in my mind without my permission.
* I have talents, skills and abilities—and I’m discovering new talents all the time.
* I take time to listen and communicate. I’m patient and understanding. It’s worth working at, and I do.
* I focus my attention on the things I can control. If l can’t affect it or direct it—I accept it.
* I know that what I believe about myself is what l will become—so I believe in the best for myself.

Acclaimed psychologist Dr. Shad Helmstetter shows you how to make positive self‑talk a permanent habit. Give yourself the kind, loving, determined support you would give to your best friend. Harness the power of the ultimate motivator—you!

For more info, you can access below hyperlink,

https://www.tripleclicks.com/15860389/detail.php?item=403675


Tiada sekian.

Jumaat, 7 Ogos 2015

Entri 008 Pembohongan Abadi

The Protocols of the Elders of Zion mungkin merupakan hasil kerja pemalsuan yang paling merosakkan pada zaman moden, dan ia adalah contoh hasil kerja seni pemalsuan yang paling teruk.  Namun, fitnah anti-Semitik yang amatur ini telah diambil serius selama lebih dari satu abad, dan telah menyebabkan kerosakan yang tidak terkira.

Pada bulan Mei 1920, The Times London telah menyiarkan sebuah rencana tentang sebuah buku, yang baru diterbitkan untuk pertama kalinya dalam Bahasa Inggeris. Buku itu dipanggil The Jewish Peril, yang dimaksudkan sebagai sebuah program politik sebuah kumpulan rahsia Yahudi yang dikenali sebagai Pemuka-pemuka Zion. Program itu dalam bentuk 24 buah protokol – berupa catatan minit suatu mesyuarat, yang kononnya telah diadakan mungkin dua atau tiga dasawarsa sebelumnya. Tidak dijelaskan siapakah nama-nama para Pemuka itu, atau di manakah dan bilakah mesyuarat rahsia itu diadakan, tetapi cita-cita mereka sebagaimana dinyatakan di dalam teks merupakan sebuah pengalaman pembacaan yang menakutkan.

Menurut buku tersebut, matlamat para Pemuka Zion adalah untuk menguasai dunia, membentuk sebuah negara global yang dikawal oleh mereka dan wakil-wakil mereka. Tujuan ini dicapai dengan cara memanipulasi sistem kewangan global, merosakkan akar nilai-nilai Kristian dan tamadun, dan merampas kerajaan-kerajaan dunia satu demi satu dengan cara kawalan di sebalik tabir. Kaedah lain ialah dengan cara halus menyelinap di dalam syarikat-syarikat akhbar, menyebarkan pornografi dan memesongkan sistem pendidikan. The Times menyatakan bahawa sesetengah elemen di dalam program Pemuka Zion itu telah pun dizahirkan dalam bencana terkini apabila meletusnya Perang Dunia Pertama dan bangkitnya rejim militan komunis di Rusia.

Itu sahaja seolah-olah cukup menjadi alasan untuk memandang dokumen itu dengan serius. Salah satu daripada protokol itu telah dibaca seperti berikut: 'Kita harus tahu bagaimana untuk menyita harta kekayaan tanpa ragu-ragu, jika dengan berbuat demikian kita akan beroleh kedudukan dan kuasa yang tinggi.’ Kenyataan itu seperti menerangkan, bukan sebuah ramalan, tentang kejayaan Bolshevik di Rusia. Kepimpinan Bolshevik, menurut The Times, mengandungi 'peratusan orang Yahudi yang tinggi'. Perenggan lain pula dibaca seperti berikut: 'Kita akan mencipta krisis ekonomi sedunia dengan menggunakan emas, yang semuanya berada di dalam genggaman kita.' Ini seolah-olah seperti perakuan orang-orang tamak yang sangat berpengaruh daripada tokoh-tokoh kewangan Yahudi yang datang daripada keluarga yang kaya raya seperti Rothschilds dan keluarga-keluarga lain. Ringkasnya, teks tersebut menjelaskan kenyataan-kenyataan yang saling bercanggah di mana orang-orang Yahudi boleh muncul sebagai pemodal-pemodal yang kaya raya dan pada masa yang sama menyelami pergerakan revolusi dengan mendalam. Kononnya, ia telah menjadi sebahagian daripada konspirasi Yahudi semenjak zaman silam hingga kini.

The Protocols of the Elders of Zion diambil daripada hasil kerja seorang rahib Rusia bernama Sergei Nilus. Ia telah muncul sebagai lampiran-lampiran yang tidak berapa teratur bagi suatu buku meditasi agama berjudul The Great Within the Small, yang telah diterbitkan pada tahun 1905. Tidak berapa lama selepas itu, lampiran-lampiran The Protocols telah dipisahkan menjadi sebuah buku berasingan, dan telah diterjemahkan kepada bahasa-bahasa lain. Nilus sering menulis bahagian pengenalan yang telah diubahsuai bagi edisi-edisi baru, di mana dia menjelaskan asal-usul dokumen yang menakjubkan itu. Akan tetapi penjelasannya sering berubah-ubah dari satu versi buku ke satu versi buku yang lain. Kadangkala, menurutnya The Protocols diambil dari peti simpanan sebuah organisasi yang dipanggil ‘The Society of Zion’, yang terletak di Perancis; Kadangkala, menurutnya lagi, dokumen itu telah dibocorkan kepada sumbernya oleh seorang wakil yang telah hadir di dalam Kongres Zionis Sedunia yang pertama kali diadakan di kotaraya Basel, Switzerland pada tahun 1897; dan kadangkala di dalam versi yang lebih berahi, bahawa ada seorang wanita telah mencurinya daripada seorang Freemason bangsa Perancis berpangkat tinggi (setelah wanita itu tidur bersama temannya semalaman, tegas Nilus).

Yahudi Antarabangsa

Selepas Perang Dunia Pertama, The Protocols telah tersebar keluar dari Eropah Timur. Ia telah diterbitkan di Jerman pada tahun 1919, dalam edisi yang lebih tebal berserta nota-nota penjelasan tambahan, dan telah dibaca dengan bersungguh-sungguh oleh Adolf Hitler. Ia juga telah sampai ke Amerika Syarikat, di mana Henry Ford, seorang industrialis, telah menunjukkan minat yang amat mendalam. Dua minggu setelah The Times menzahirkan perhatiannya tentang perancangan Yahudi untuk mengambil alih dunia, Ford telah memberi restu penerbitan satu siri rencana berjudul The International Jew: The World’s Foremost Problem, yang telah disiarkan di dalam suratkhabar milik syarikatnya, The Dearborn Independent. Rencana-rencana itu terbit pada setiap minggu selama hampir dua tahun, dan setelah tamat, ia telah diterbitkan dalam bentuk buku setebal empat jilid, yang telah dijual dengan harga satu dollar setiap set. (Penerbitan koleksi itu telah diberikan subsidi yang banyak oleh Ford.) Siri penerbitan suratkhabar dan set buku itu mengandungi teks lengkap The Protocols, bersekali dengan ulasan terperinci tentang kaitannya dengan situasi politik semasa di Amerika Syarikat dan tempat-tempat lain di seluruh dunia. 'Ia sepadan dengan apa yang sedang terjadi,' kata Ford.

Tetapi kemudiannya, sesetengah orang telah menghidu bibit-bibit kebencian anti-Semitik. Kira-kira setahun selepas The Times menerbitkan rencana asal, ia telah menyiarkan sebuah cerita yang ditulis oleh koresponden asingnya, Philip Graves, yang membuktikan bahawa The Protocols adalah sebuah hasil kerja pemalsuan. Graves berpangkalan di Istanbul, yang padat dengan penghijrah-penghijrah Rusia anti-Bolshevik. Pada suatu hari dalam tahun 1921, seorang kenalannya berbangsa Rusia telah menyerahkan suatu skup dalam bentuk buku yang telah lunyai. Ia dalam Bahasa Perancis, dan kulit muka depannya telah hilang. Rakan Graves kata ia adalah sebahagian daripada buku-buku yang dibeli secara pukal daripada seorang Rusia yang lain, iaitu seorang bekas anggota polis rahsia Kerajaan Tsar Rusia. Berdasarkan jenis tipografi, Graves dapat menelah bahawa buku itu telah diterbitkan di dalam tahun-tahun 1860an atau 1870an. Perkataan 'Geneva' telah ditulis tangan pada bahagian mukaddimah.

Apa yang mengejutkan ialah buku itu menyerupai dengan ketaranya The Protocols yang dihasilkan oleh Nilus. Sebenarnya, adalah sangat nyata bahawa sebahagian besar The Protocols telah disalin atau disesuaikan dengan begitu minimum sekali daripada buku Bahasa Perancis yang tidak dapat dikenalpasti itu. Akan tetapi, buku Bahasa Perancis itu langsung tiada kaitan dengan konspirasi Yahudi; malah tiada satu perkataan pun yang merujuk kepada orang Yahudi yang telah disebut di dalamnya. Buku itu mengandungi transkrip perbualan khayalan di antara seorang diplomat berbangsa Itali zaman pertengahan bernama Niccolo Machiavelli dan seorang pemikir berbangsa Perancis abad ke-18 bernama Montesquieu. Dalam perbincangan mereka, Machiavelli memperincikan kaedah-kaedah yang teruk yang boleh digunakan oleh seseorang pemerintah  atau sesebuah kerajaan yang kejam untuk mengawal rakyat mereka. Ulasannya yang ironi adalah suatu yang jelas dan merupakan (pada masa masa itu) jenaka satira yang merujuk kepada rejim pemerintahan Perancis di bawah Napoleon III. Namun, pengarang The Protocols telah membuang teks yang merujuk kepada unsur-unsur satira, malah telah menambah teks yang kononnya kata-kata yang teruk itu dituturkan oleh para Pemuka Yahudi, dan telah menyebarkan keseluruhan teks sebagai sebuah cetak biru yang serius dalam usaha untuk menguasai seluruh dunia.

Suatu kerja penyiasatan yang telah dibuat di Perpustakaan British, menunjukkan bahawa ‘Geneva dialogues’, iaitu nama sementara yang diberikan oleh Graves kepada buku yang lunyai itu, sebenarnya ialah sebuah buku yang berjudul Dialogues in Hell, ditulis pada tahun 1864 oleh seseorang yang bernama Maurice Joly. Beliau seorang penulis satira Perancis – bukan seorang Yahudi dan bukan juga seorang anti-Yahudi. Beliau mungkin akan berasa kesal jika tahu bagaimana karya parodi politiknya telah dipinda beberapa kali. Berdasarkan kepada sebuah analisa Graves yang lebih menyeluruh dan terperinci, tidak diragukan lagi bahawa The Protocols adalah sebuah karya pemalsuan yang amat mentah, iaitu pemalsuannya amat mudah untuk dikesan. Graves telah membuat kesimpulan bahawa kerja-kerja pemalsuan itu telah dilakukan 20 tahun sebelumnya oleh polis rahsia Rusia. Tujuan mereka, dan sebab mereka memberi naskhah tulisan Maurice Joly kepada Sergei Nilus untuk dirombak, adalah untuk menghalang Tsar Nicholas II daripada memberi restu kepada usaha-usaha reformasi yang dipaksakan ke atasnya sewaktu bibit-bibit awal kebangkitan Revolusi Rusia pada tahun 1905. Sekiranya Tsar boleh dipujuk dan diberikan penerangan bahawa orang-orang Yahudilah yang menjadi dalang di sebalik gelora politik yang sedang berlaku di Rusia, berkemungkinan baginda akan menghalang percubaan untuk mengubah perlembagaan negara.

Di Perkuburan Prague

Akan tetapi, tidak semua teks The Protocols disesuaikan daripada hasil kerja Maurice Joly. Oleh kerana buku karangan Joly langsung tiada kena mengena dengan Yahudi, idea perancang rahsia yang terdiri daripada Pemuka-pemuka Yahudi datang daripada sumber lain. Apabila The Protocols hampir-hampir boleh didapati di Jerman, sumber idea itu telah dapat dikenalpasti. Pada tahun 1868, seorang Jerman bernama Hermann Goedsche, yang menulis menggunakan nama pena yang tidak meyakinkan, iaitu Sir John Retcliffe, telah menerbitkan sebuah novel berjudul Biarritz. Goedsche adalah seorang bekas pesalah membuat dokumen palsu, aktivis politik dan anti-Semitik yang melampau. Novelnya mengandungi sebuah bab yang agak mengejutkan berjudul ‘In the Jewish Cemetery in Prague’, yang menceritakan sebuah pertemuan rahsia pada suatu tengah malam yang dihadiri oleh dua belas ketua kabilah Israel. Pada pertemuan itu, menurut penulisnya, berlaku setiap sekali dalam seratus tahun, ketua-ketua Yahudi memberi laporan kemajuan yang telah mereka capai sepanjang seabad yang lalu; bagaimana akar umbi nilai-nilai Kristian telah dicabut, orang ramai dihambat untuk memulakan sebuah revolusi, kerosakan kesolehan wanita-wanita Kristian. Di penghujung pertemuan itu, ketua-ketua Yahudi itu telah menyembah jelmaan seekor anak lembu emas yang keluar daripada kubur seorang rabbi. Kemudian mereka telah berlutut di hadapan Syaitan itu sendiri.

Fantasi Goedsche yang sangat mengujakan itu tidak terkubur di dalam novelnya. Episod di kawasan perkuburan itu telah diekstrak, kandungan yang mengejutkan telah disunting keluar, dan dua belas laporan telah ditulis semula sebagai sebuah monolog. Dalam bentuk ini, ia telah dibawa keluar dari Jerman dan dibawa ke Rusia, di mana ia kemudiannya telah diterbitkan sebagai sebuah risalah yang diberi nama The Rabbi’s Speech. Tiada sebarang tanda yang menunjukkan bahawa risalah itu adalah sebuah karya fiksyen; ia telah dipersembahkan sebagai sebuah dokumen yang mengandungi maklumat yang benar. Jadi, The Rabbi’s Speech telah menjadi dokumen prototaip sekaligus salah satu sumber untuk mencipta The Protocols. Ia sering diedarkan di jalanan sebagai bibit-bibit permulaan sebuah pogrom, yang telah menyusahkan orang-orang Yahudi di dalam Empayar Rusia pada awal abad ke-20. Orang ramai akan membacakan risalah itu di hadapan orang-orang Yahudi, menceroboh dan merosakan sinagog, menginjak-injak Kitab Taurat dan membantai mati jiran-jiran mereka yang berketurunan Yahudi yang disyaki.

Perbicaraan di Switzerland

Kebenaran tentang The Protocols telah diketahui menjelang pertengahan 1920an. Namun, itu tidak menghentikan pengedarannya. Pada tahun 1934, penerbit The Protocols edisi Bahasa Swiss telah disaman oleh seorang peguam Yahudi kerana telah menerbitkan ‘bahan bacaan yang mengarut’. Hakim dalam kes itu, Walter Meyer, telah memeriksa dengan teliti perincian setiap bukti yang menjadi asal-usul kepada buku The Protocols, dan telah mengisytiharkan pada akhir perbicaraan: 'Saya harap akan datang masanya, bila tiada siapapun yang akan faham bagaimana sekumpulan orang tua yang waras sanggup menyiksa fikiran mereka untuk menghasilkan sebuah dokumen tulen apa yang dipanggil The Protocols, yang mana, sekalipun ada bahaya yang mereka telah buat atau mungkin belum buat lagi, adalah tidak lebih daripada hal-hal karut yang melampau.’

Keputusan perbicaraan itu sepatutnya menjadi penamat kepada The Protocols. Akan tetapi, buku itu telah mendapat sambutan yang sangat hangat di pasaran. Pada waktu Hakim Meyer mengumumkan keputusannya, Nazi telah berkuasa di negara jirannya di Jerman selama dua tahun. Mereka telah mengedarkan jutaan naskhah The Protocols kepada murid-murid sekolah, yang telah diajarkan bahawa buku itu adalah sebuah dokumen sejarah yang memberitahu mereka apa yang mereka perlu tahu tentang seseorang Yahudi. Di Jerman, The Protocols telah menjadi sebab pembunuhan beramai-ramai ke atas orang-orang Yahudi.

Kemudian, kekalahan fahaman Nazi juga tidak dapat menghapuskan The Protocols. Selepas penciptaan negara Israel, ia beredar di dalam Bahasa Arab di seluruh Timur Tengah. Edisi ilustrasi telah diterbitkan di Sepanyol pada tahun 1964. Ia telah diterbitkan di Bombay pada tahun 1974, dengan judul International Conspiracy Against Indians. Ia muncul untuk pertama kalinya dalam Bahasa Jepun pada tahun 1987. Golongan neo-fasis Rusia telah menerbitkan semula karya asal yang dibuat oleh Sergei Nilus pada tahun 1992, sebaik sahaja bubarnya Kesatuan Soviet. (Pada masa yang sama, sejarahwan Rusia akhirnya telah mendedahkan nama orang yang pertama sekali mencampur-adukkan berbagai sumber rujukan untuk menghasilkan dokumen palsu The Protocols. Beliau ialah Matvei Golovinsky, seorang anggota polis rahsia berpangkat rendah.) Pada tahun 1994, pelampau Kristian di Australia telah mencetak versi yang telah diperbaharui di dalam Bahasa Inggeris. Dan pada hari ini, perancangan para Pemuka Zion boleh didapati dalam bahasa-bahasa lain di internet, di mana setiap satu daripada 24 buah protokol itu boleh dicapai dengan mudahnya menerusi hiperpautan.

Hampir satu abad telah berlalu sejak The Protocols telah didedahkan sebagai dokumen palsu, berminda sempit dan hasil kerja plagiat – namun ia tetap akan diingati dan diyakini sebagai dokumen yang benar-benar asli. Ia telah menjadi sebuah fitnah yang tidak boleh dihancurkan, sebuah pembohongan yang tidak boleh dinafikan sebagaimana suatu tatu Auschwitz.



Nota kaki: 

1. Rencana di atas adalah terjemahan secara bebas yang mengekalkan konteks asal daripada sebuah rencana di dalam Bahasa Inggeris berjudul 'The Eternal Lie' yang telah dimuatkan di dalam buku Great Secrets of History - Gripping stories of truth and lies, deception and discovery terbitan Reader's Digest, 2013. Kredit kepada panel penulis Reader's Digest iaitu Jonathan Bastable, Antony Mason dan Tony Allan. 

2. Untuk membaca rencana asal, anda boleh beli buku tersebut secara langsung daripada Reader's Digest kerana buku-buku terbitan khas syarikat itu sukar didapati di rak kedai-kedai buku Malaysia. Rencana asal tidak boleh diterbitkan semula dalam apa saja bentuk kecuali mendapat izin penerbit. Namun saya sertakan foto buku tersebut supaya senang anda merujuknya jika ingin beli daripada pengedarnya, iaitu Reader's Digest Malaysia. 










3. Penerbitan rencana yang saya terjemahkan sendiri ini, di dalam blog saya, semata-mata bertujuan berkongsi pengetahuan umum dan tidak bermaksud meraih keuntungan komersial untuk diri saya. Alat bantu yang saya guna untuk menterjemahkan rencana ini ialah SDL Free Translation secara online, The Oxford English Dictionary, Kamus Melayu-Inggeris Dewan, Kamus Dewan dan Tesaurus Bahasa Melayu Dewan.

Khamis, 30 Julai 2015

Entri 007 Rahsia Silam

Kini saya telah masuk ke dalam kelab 40an, iaitu kelab orang-orang yang sudah berusia 40 tahun. Tak lama lagi, mungkin akan masuk ke kelab 50an, 60an, mengikut berapa panjang usia yang telah Allah tetapkan untuk kita.

Dalam masa lebih 40 tahun hidup ini, saya telah menempuh berbagai peristiwa, melalui berbagai suasana, mengalami berbagai proses biologi yang mempengaruhi jiwa, pemikiran dan perwatakan saya, dan tidak kurang juga banyak rahsia orang-orang di sekeliling saya yang saya pernah hidup bersama atau berurusan, yang telah saya lihat sendiri atau mendengar sendiri perakuan mereka atau yang dikhabarkan kepada saya oleh orang-orang kepercayaan mereka.

Semua orang ada rahsia diri mereka sendiri. Ada yang aib, ada yang jenis bakat terpendam, ada yang merupakan kelebihan yang tidak mahu ditonjolkan. Pada zaman sekarang ini, ada sebilangan orang mempunyai alter-ego, kalau apa yang mereka inginkan tidak dapat dicapai dengan penampilan diri mereka yang biasa-biasa, mereka akan mengenakan sisi alter-ego mereka untuk mencapai matlamat mereka. Sebilangan orang pula menonjolkan avatar mereka untuk melindungi diri sebenar mereka, supaya orang tak tau siapa punya angkara apabila berlaku sesuatu musibah – saya berpendapat, keadaan alter-ego dan avatar itu, lebih merupakan keadaan mental atau psikologi yang tidak dapat mereka selesaikan dalam diri mereka.

Sewaktu melalui hidup seharian, kita pasti akan membawa tubuh badan kita sendiri ke mana sahaja. Bersama tubuh badan kita itu, kita akan membawa jiwa, perasaan, pemikiran, sikap dan pendirian kita. Apa-apa sahaja yang orang lain melihat diri kita semasa kita berdiam diri, bercakap, beraksi, membuat tindakan tertentu – itu adalah luaran yang mereka boleh buat tanggapan sendiri tentang siapa diri kita. Mereka tidak akan pernah tahu apa yang sebenarnya berlaku di dalam dalaman diri kita. Ada orang yang kelihatan gembira, tetapi hatinya menangis. Ada yang raut mukanya seperti garang, tapi berjiwa romantis leleh air amata. Kita kata orang itu berpura-pura suka sedangkan hatinya duka – itu adalah persepsi kita.

Rahsia adalah sesuatu yang kita tidak tahu, tidak nampak, tidak boleh dirasa atau dikesan, atau yang tidak diberitahu kepada kita.

Kalau kita dah mula berangan-angan untuk ada pasangan sejak baligh, dan sekarang kita sudah berkahwin, bahagia bersama pasangan dan anak-anak di sisi, dalam tempuh itu, sudah berapa ratuskah babak drama sedih dan ria yang telah kita jayakan? Harapan untuk hidup bersama tidak tercapai, pasangan kita minta putus hubungan dengan kita, tiba-tiba kita muflis hingga tak ada duit nak kahwin menyebabkan putus tunang, bagi yang dah berkahwin nak bercerai pula dengan seribu satu macam alasan.

Itu semua didorong oleh faktor rahsia dalam diri yang telah tersimpan lama sejak zaman silam, yang orang sekeliling tak tahu dan tidak akan menyangka bahawa seseorang itu ada sikap tertentu sedemikian rupa.

Saya sendiri, apa-apa aib orang yang saya tahu, saya akan zip ketat-ketat mulut saya dan pasung kuat-kuat jari-jemari saya, yang saya tidak akan beritahu orang lain – saya anggap itu amanah yang Allah letakkan kepada saya untuk saya serah balik kepadaNya semasa perbicaraan di Padang Mahsyar pada Hari Kiamat nanti. Aib saya pula, jika ada orang tahu, saya harap Allah yang tutup aib itu kerana saya tiada kuasa untuk mempengaruh orang lain supaya jangan heboh-hebohkan aib saya – kalau orang nak heboh juga, sesungguhnya tiada daya dan kekuatan kecuali Allah, kepada Allah saya berserah.   

Tiada sekian.



Selasa, 28 Julai 2015

Entri 006 Sistem Paip Air Bocor

Semasa bulan Ramadhan yang lalu, saya telah balik ke rumah ibu bapa saya di Taman Soga, Batu Pahat. Pada sebelah tengah hari, ibu saya mengadu bahawa bil air rumah sangat tinggi mencecah lebih RM100.00 sebulan. Saya berasa hairan bagaimana boleh jadi sebanyak itu. Saya mengesyaki ada kebocoran di dalam sistem paip air rumah ibu bapa saya. Ibu saya mengaku memang ada bocor dan ia ada di depan rumah, betul-betul di sebelah pintu pagar. Bila saya periksa, memang ada bocor pada injap yang menerima air bukit.

Rumah ibu bapa saya terima 2 sumber air, satu daripada SAJ (Syarikat Air Johor) dan satu daripada mata air yang bersit daripada lereng bukit yang terletak betul-betul di hadapan kawasan perumahan. Baru-baru ini, mata air itu sudah tidak memancarkan air daripada bawah bumi, jadi injap itu dan paip air bukit yang disambungkan kepadanya dan seluruh sistem perpaipan air bukit yang masuk ke rumah-rumah di kawasan itu kosong tidak berair, malah berisi udara kosong. Ini menyebabkan hanya air dari sumber SAJ sahaja yang masuk ke dalam sistem perpaipan air domestik. Jika hal ini berlaku, injap itu mesti ditutup supaya air dari sumber SAJ tidak masuk ke dalam injap air bukit.


Malangnya, dalam kes rumah ibu bapa saya, injap itu telah tidak ditutup. Bila dibiarkan sekian lama, butang untuk menutup injap tidak berfungsi, mungkin telah ketat akibat karat dalaman. Akibatnya air sumber SAJ melimpah masuk ke dalam injap air bukit.





Oleh kerana tekanan air sangat kuat, ia telah meretakkan badan pelindung injap menyebabkan air memancut keluar melalui rekahan kecil. Selama lebih setahun keadaan pancutan kecil ini tidak dibaiki menyebabkan bil air rumah naik mendadak mencecah lebih RM100.00 sedangkan penghuni rumah hanya bertiga, iaitu ibu, bapa dan adik bongsu saya.





Ibu saya telah berbincang dengan bapa saya supaya mengambil langkah untuk membaiki kebocoran paip air yang telah dikesan. Bapa saya pula telah tua dan mula ingat-ingat lupa. Oleh itu tiada apa-apa tindakan yang telah diambil. Jadi saya mengambil keputusan untuk menyelesaikan sendiri masalah paip bocor itu tanpa berunding dengan bapa saya. Saya mendirikan solat sunah hajat 2 rakaat dan berdoa agar Allah mengilhamkan saya apa yang patut saya buat untuk mengatasi masalah yang dibangkitkan oleh ibu saya.

Saya memeriksa sistem paip bekalan air domestik yang masuk ke dalam rumah ibu bapa saya. Saya dapati kalau saya tutup bekalan air SAJ, tiada pancutan kecil yang keluar dari rekahan injap air bukit. Akan tetapi, tiada air yang masuk ke dalam tangki penerima di dalam rumah. Oleh itu, saya memutuskan untuk memisahkan bekalan air bukit daripada sistem paip air domestik.

Caranya, buka penyambung yang menghubungkan sistem paip air bukit dengan sistem paip air domestik dan kemudian sumbat lubang yang terbuka itu dengan plug atau penyumbat yang sesuai dengan saiz paip. Malangnya, rumah ibu bapa saya tiada alat perkakas yang boleh saya guna. Kotak alat perkakas milik saya pula tertinggal di rumah, walaupun sebelum itu saya biasa bawa bersama setiap kali pergi ke mana-mana sebagai persediaan membuat kerja-kerja pembaikan kereta pada waktu-waktu kecemasan di tengah jalan.



Saya keluar mencari kedai menjual alat perkakas. Tiba di tengah bandar saya berasa pelik kenapa semua kedai menjual alat perkakas tidak berniaga. Kemudian baru saya teringat, kebanyakan kedai dan bank di kawasan bandar ditutup pada hari Ahad, walaupun Ahad bukanlah hari cuti rehat bagi negeri Johor. Jumaat pula telah dikembalikan sebagai hari cuti rehat bagi negeri Johor menggantikan hari Ahad.

Dalam keadaan termangu itu, saya teringat seorang kawan sekolah menengah yang sekarang telah menjadi kontraktor di bandar ini. Saya segera hubungi beliau dan bertanya kedai mana yang buka perniagaan pada hari Ahad. Dia terus menyebut lokasi kedai itu tetapi dia tidak ingat nama kedai. Saya tahu di mana lokasi yang beliau maksudkan dan kalau tiba di sana hanya ada satu kedai alat perkakas yang buka, memang itulah kedainya.

Bila tiba di Taman Pasifik Selatan berdepan dengan Kampung Istana, saya nampak ada sebuah kedai alat perkakas yang terletak di hujung sekali – BING HWA, nama itu terus lekat dalam ingatan saya. Apabila masuk ke dalam kedai, saya dapati kedai itu ada menjual semua alat perkakas dan pertukangan tangan yang diperlukan untuk semua tujuan kerja. Saya bertanya kepada pembantu kedai akan masalah saya sambil menunjukkan gambar sistem paip yang telah saya tangkap dan bertanya kalau dia ada penyumbat yang sesuai dengan saiz yang saya perlukan. Dia terus menuju ke rak dan mengeluarkan satu penyumbat yang memang sesuai dengan saiz tersebut. Saya bertanya kalau dia ada spanar hidup yang sesuai untuk saya guna. Dia kata tak perlu guna guna spanar hidup, lebih baik guna playar hidup yang memang khas untuk memasang sistem paip. Kemudian saya beli beberapa lapik untuk dililit pada pilin penyumbat.

Setelah tiba di rumah, saya tutup bekalan air SAJ. Saya buka penyambung yang menghubungkan sistem bekalan air bukit dengan sistem bekalan air domestik.

















Saya ambil penyumbat dan melilitkan lapik putih pada pilin penyumbat agak tebal. Bila saya masukkan penyumbat itu ke dalam lubang yang terbuka, saya dapati ia boleh dipulas dan saya kunci ketat-ketat supaya boleh menahan tekanan tinggi air dari SAJ.











Bila siap, saya buka semula bekalan air SAJ. Adik perempuan saya kata air singki dah keluar dan boleh dengar air menitik masuk ke dalam tangki penerima di dalam rumah. Saya tunggu lagi selama beberapa minit. Tiada setitik pun air yang menyisip keluar dari penyumbat yang saya kunci. Saya berpuas hati kerana telah berjaya mengasingkan bekalan air bukit daripada sistem bekalan air domestik yang masuk ke dalam rumah ibu bapa saya.












Pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu, saya bertanya kepada ibu saya berapa banyak bil air bulan itu. Ibu saya kata dalam RM20.00 nak dekat RM30.00. Saya percaya saya telah dapat menyelesaikan masalah paip air bocor di rumah ibu bapa saya. 

Terima kasih Amara di atas bantuanmu. Tak sia-sia kau jadi kontraktor sivil. 

Tiada sekian.

Isnin, 29 Jun 2015

Entri 005 Sistem Sokongan

Dalam hidup berkeluarga dan berumahtangga, sistem sokongan amat diperlukan sekali. Kalau baru saja berkahwin, apakah yang mungkin sepasang suami isteri amat perlukan? Pada pendapat saya, yang paling diperlukan ialah rumah kelamin. Ini ialah sistem sokongan yang utama. Dengan adanya rumah kelamin, yang ada ruang bersendirian, sepasang suami isteri bebas melunaskan tanggungjawab berkelamin di antara mereka berdua. Supaya selesa, kena masukkan bekalan elekrik dan air sebagai perkhidmatan asas yang mesti ada di dalam sesebuah rumah.

Makan minum pula adalah sistem sokongan kedua. Anda perlu bercucuk tanam atau bela ternakan untuk mendapat sumber makanan. Sebidang tanah yang sesuai, cukup untuk menghidupkan api dapur buat memasak makanan. Pada zaman sekarang ini, semua barang makanan boleh dibeli di kedai. Jika malas masak, boleh sahaja beli di kedai-kedai makan atau restoran-restoran.

Sistem sokongan ketiga pula ialah keperluan untuk mendapatkan rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan. Apabila badan telah sakit-sakit atau terkena sesuatu penyakit - klinik, farmasi dan hospital menjadi tumpuan untuk mendapatkan rawatan daripada seorang pengamal perubatan dan bekalan ubat-ubatan.

Supaya mudah untuk pergi ke tempat kerja atau hendak bergerak ke mana-mana, kemudahan pengangkutan menjadi sistem sokongan keempat. Seringkas basikal, semurah motorsikal, semahal kereta atau apa saja jenis kemudahan perkhidmatan awam, semua itu merupakan alat-alat pengangkutan yang penting supaya mudah bergerak atau membawa barang-barang dari satu tempat ke tempat yang lain.

Apabila bilangan ahli keluarga semakin bertambah, anak-anak perlu dipelihara. Jika isteri tak bekerja, dia boleh menjaga, memelihara dan merawat sendiri anak-anak di rumah. Jika kedua-dua suami isteri bekerja, maka perlu ada tempat asuhan anak-anak yang boleh mengasuh anak-anak tersebut sementara ibu bapa mereka pergi bekerja. Ini juga suatu bentuk sistem sokongan yang amat diperlukan oleh sesebuah rumahtangga.

Anak-anak itu pula, jika sudah sampai umur persekolahan, perlu dihantar ke sekolah. Di sekolah, anak-anak akan diajar, dididik dan dibekalkan dengan ilmu-ilmu tertentu supaya apabila besar nanti, mereka boleh berdikari membina kehidupan mereka sendiri. Pendidikan juga merupakan suatu bentuk sistem sokongan yang memperkenalkan seseorang insan itu kepada dunianya dan bagaimana seharusnya dia berinteraksi dengan persekitaran hidupnya. Kitaran hidup seseorang manusia itu pula akan berulang apabila mereka pula berkahwin meneruskan zuriat manusia.

Demikian kehidupan seseorang insan. Sentiasa ada sistem sokongan yang menyokongnya untuk meneruskan kelangsungan hidup. Seseorang itu tidak dapat hidup secara berseorangan, malah perlu hidup dalam satu kelompok masyarakat untuk saling bantu-membantu di antara satu sama lain, yang akan memudahkan urusan kehidupan masing-masing.

Ibarat sepohon pokok yang baru hendak bertumbuh, perlu sistem sokongan seperti air, cahaya, udara, baja dan perlindungan daripada penyakit, untuk membolehkan ia membesar, berbuah dan memberi manfaat kepada manusia, haiwan dan alam sekitar tempatnya tumbuh.

Tiada sekian.

Isnin, 1 Jun 2015

Entri 004 Sajak Ibu Bapa



Ketika memeriksa beg sekolah anak sulung saya untuk menjadualkan buku-buku pelajaran yang sepatutnya dia belajar pada keesokan hari, saya terjumpa sekeping kertas yang tercoret sebuah sajak berjudul “Sajak Ibu Bapa”. Di bawah sajak itu ada tertulis frasa ‘Terima kasih Ibu & Abah’ dan tandatangan dia sendiri.

Dia sudah ada tandatangan sendiri semasa belajar pada Tahun 3! Kagumnya saya. Saya hanya ada tandatangan sendiri semasa belajar dalam Darjah 6 sebab pada masa itu bapa saya nak bukakan akaun Bank Simpanan Nasional saya. Oleh kerana borang permohonan menyatakan bahawa pemohon yang mesti tandatangani borang itu, pada ketika itulah baru saya terkial-kial mencipta tandatangan sendiri untuk mengesahkan borang permohonan tersebut.

Perkara yang lebih mengkagumkan saya ialah dia sudah pandai menulis sajak yang lahir daripada sanubarinya sendiri. Perasaan saya amat tersentuh. Isteri saya turut rasa terharu. Kami kini mengerti bahawa anak-anak kami sudah ada daya fikir dan daya hayat sendiri yang sedia untuk dieksploitasi. Mereka melihat kami, menyaksikan apa yang kami buat dan memerhati apa reaksi kami terhadap apa yang berlaku di sekeliling. Oleh kerana kami hanya buat perkara-perkara baik dan mencontohkan perkara-perkara baik, mereka ingin buat dan menghayati perkara-perkara baik yang kami contohkan kepada mereka dan mereka akan nyatakan perasaan terkilan mereka jika mereka tak dapat buat perkara-perkara baik itu.

Ketika saya hendak basuh dan cuci bilik mandi dengan menyental dinding berlumut hijau, mereka ingin menolong, nak cuba cara menyental dinding bilik mandi dan nak rasa kepayahan mencuci lantai yang berdaki, tetapi saya menafikan tawaran mereka yang hendak menolong saya, dan mereka mengadu dengan ibu mereka yang mereka ingin tolong saya tapi saya tak benarkan mereka tolong saya hingga menyebabkan mereka merajuk dan jauh hati. Bila isteri saya melaporkan kepada saya hasrat mereka, barulah saya bagi tugasan yang sepatutnya kepada mereka dan mereka melakukannya dengan cara yang betul dan bersungguh-sungguh. Mereka menolong saya membersihkan bilik mandi depan dan belakang dengan penuh rasa seronok walaupun kepenatan.

Sekarang ini cuti sekolah datang lagi. Mereka ternanti-nanti apa lagi projek pembersihan rumah yang saya nak buat pula, supaya mereka boleh tolong apa yang patut dan ingin terlibat sama di dalam kerja-kerja membersih rumah.

Kami suami isteri tak pernah buat perkara buruk dan membiarkan mereka menonton perkara buruk daripada kami. Itu salah satu kaedah yang kami suami isteri telah setuju dalam cara mendidik anak-anak. Kami sentiasa buat perkara baik di hadapan anak-anak, membiarkan mereka melihat perkara baik yang kami buat, dan bila ada waktu senggang bersama mereka, kami akan membincangkan contoh-contoh perkara baik yang boleh mereka ikut, di antaranya ialah apa yang telah kami buat di hadapan mereka yang mungkin mereka tak faham maksud perlakuan kami yang telah kami tunjukkan kepada mereka supaya penglihatan mereka terhadap perbuatan baik itu akan didaftar di dalam memori ingatan mereka.

Saya mendidik anak bukan dengan cara bercakap dan menerangkan sepatah kata demi sepatah kata yang dipantak ke dalam otak anak. Mereka mungkin dengar, tetapi mereka tak faham. Untuk masukkan faham ke dalam hati, saya mencontohkan perbuatan baik di hadapan mereka, bila mereka dah buat, baru saya terangkan dengan kata-kata ringkas dan ayat yang paling mudah difahami.

Contohnya, jika singgah di mana-mana surau atau masjid untuk solat, selepas solat saya akan berikan sedikit duit kepada mereka dan minta mereka masukkan duit ke dalam tabung surau atau masjid. Bila dah masuk ke dalam kereta, saya akan jelaskan kepada mereka bahawa perbuatan masukkan duit ke dalam tabung surau atau masjid itu namanya bersedekah dan bila kita bersedekah kita akan dapat pahala serta malaikat akan mendoakan perjalanan kita supaya sentiasa selamat sehingga tiba ke tempat dituju. Biasanya pada ketika inilah akan berlaku sesi soal jawab dan saya akan jelaskan kepada mereka dengan bahasa paling mudah supaya mereka faham apa yang saya jelaskan.

Saya memerhati bahawa mendidik anak-anak pada zaman ini lebih mencabar daripada zaman ibu bapa saya mendidik saya dan adik-adik saya dulu. Pada zaman sekarang, saya melihat anak-anak saya terdedah dengan seluas-luasnya kepada bermacam bentuk maksiat dan perkara keji yang telah dicantikkan sebagai perkara makruf dan kelihatan suci. Saya akan lekas-lekas beritahu mereka bahawa yang buruk itu buruk dan dijadikan sempadan supaya jangan didekati atau dibuat ikutan. Manakala bagi perkara baik, saya akan beritau mereka itulah sepatutnya yang kita mesti buat dan jangan lengah melakukannya, takut-takut kita tak akan diberi kesempatan oleh Allah untuk buat perkara baik itu.

Saya selalu berdoa agar Allah membimbing hati dan fikiran anak-anak saya ke arah jalan kebaikan yang lurus dan mendorong mereka untuk jauh daripada jalan yang sesat dan jalan yang dimurkaiNya.

Tiada sekian.

Dituliskan semula sajak yang telah ditulis oleh anak saya, kalau-kalau ada Pembaca yang tak boleh lihat gambar yang diselit di dalam entri pada kali ini.

Sajak Ibu Bapa

Ibu dan Ayah adalah
Ratu dan raja hatiku,

Tanpa mereka ku
rasa sayu, senyuman
ibuku sangat mekar.

Ayahku pula sangat
garang, biar pun ku dirotan
itulah makna rasa sayang
dan cinta kepadaku.

Ku tak pernah memaki
Ibu dan Ayahku, apa yang
tersilap dalam diriku
ampunilah dosaku.

Ibu dan Ayah adalah
cahaya petunjuk
kepadaku.

Terima kasih Ibu dan Abah
Huda


Isnin, 27 April 2015

Entri 003 Keluargaku - Dari Perspektif Seorang Anak



Gambar di atas dirakam menggunakan telefon pintar Nokia Lumia N630 milik saya pada 8 Mac 2015, Ahad, setelah anak sulung saya selesai melakar sebuah karya lukisan berjudul “Keluargaku” di atas sebuah papan putih yang baru saja saya gantungkan di bilik tidurnya, setelah kami berhempas pulas mengemas bilik tidurnya supaya lebih kemas dan selesa.

Tak terungkap sepatah kata bila terpandang lakaran di atas papan putih itu, sebaik saja saya masuk ke dalam biliknya pada sebelah malam, untuk memastikan dia tidur dalam keadaan selesa dan baik, setelah dia selesai solat Isyak dan mengemas buku sekolah untuk ke sekolah pada keesokan hari.

Saya telah faham bahawa daripada sudut pandang seorang anak, dia berasa bahagia dilahirkan dan berada di dalam keluarganya. Dia berasa cukup dengan kehadiran seorang ibu, seorang bapa, seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan. Dan dia berasa bahawa merekalah yang paling dia hargai di dalam hidupnya sekarang, pada masa ini.

Oleh kerana lakaran yang menggunakan pen ‘marker’ jenis dakwat yang boleh padam tidak meninggalkan kesan yang kekal, saya terus menangkap gambar menggunakan telefon pintar sebagai suatu rakaman sejarah keluarga. Melihat dia tidur lena, saya berasa kasihan. Seorang anak kecil sudah mempunyai sudut pandang sendiri terhadap keluarga yang dia berada di dalamnya.

Bagaimana pula nasib anak-anak seusianya yang ditaqdirkan lahir tidak berayah, tidak beribu, tiada adik-beradik, atau menumpang di rumah anak-anak yatim, atau bergelandangan tanpa pembelaan di lorong-lorong gelap di kota-kota besar? Saya berasa insaf bahawa Allah mentaqdirkan setiap insan yang hidup di dunia ini mempunyai nasib dan taqdir yang tidak sama. Mereka yang berada di luar sana, di luar daripada lingkungan keluarga kita, telah pun ditentukan jalan kehidupan tertentu yang harus ditempuh.

Bagi insan yang bernasib baik, itu adalah rezeki yang Allah kurniakan untuk mereka di dunia. Bagi insan yang bernasib kurang baik, kehadiran mereka di sisi insan yang bernasib baik sebenarnya menjadi ujian kepada insan yang bernasib baik itu supaya insan yang bernasib baik itu ada niat untuk membantu insan yang bernasib kurang baik, atau supaya insan yang bernasib kurang baik itu mengambil iktibar untuk berikhtiar dan berubah menjadi insan yang bernasib baik.

Gambar kedua di bawah diambil pada 24 Mac 2015, Selasa. Saya baru perasan lakaran adik lelaki yang bernama Hadi itu telah diubah sedikit. Isteri saya kata, Hadi sendiri yang ubah lukisan tu sebab dia kata, kakak lukis gambar Hadi tak ‘hensem’. Jadi dia padam balik gambar diri dia yang kakak dia lukis, dan dia lukis lain gambarnya yang dia kata lebih ‘hensem’ daripada gambar yang kakaknya lukis. Saya turut perasan cara dia menulis namanya yang berlainan daripada yang kakaknya tulis.

Itu macam simptom ‘dyslexia’. Huruf ‘d’ dia tulis sebagai ‘b’, tapi mati-mati dia kata bunyinya ialah huruf ‘d’.

Tiada sekian.




Rabu, 22 April 2015

Entri 002 Kenapa Mesin Sastera?




Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat cetakan keempat terbitan DBP 2013, mesin bermaksud alat atau perkakas yang menggunakan kuasa seperti elektrik dan enjin untuk melakukan sesuatu kerja. Makna seerti ialah jentera atau pesawat. Sastera pula ada 5 maksud. Bagi maksud penulisan blog ini, saya ambil maksud kelima iaitu tulisan atau huruf.

Mesin sastera dalam konteks blog saya ini bermaksud alat perkakas yang menggunakan kuasa ilham, idea, buah fikiran dan gagasan untuk melahirkan suatu penulisan prosa bukan kreatif yang akan memanipulasi tulisan atau huruf termasuk tanda-tanda huruf di mana sesuatu aksara itu mempunyai maksud dan makna tertentu apabila disusun dan diletak pada suatu kedudukan tertentu.

Ini bukan blog yang akan membicarakan tentang hal ehwal sastera dan kesusasteraan kerana saya bukan seorang sasterawan yang mempunyai hasil penulisan tahap maha karya atau magnum opus yang layak dibincangkan oleh penggiat-penggiat sastera. Ini ialah blog yang sekadar mencoret dan merakam rasa hati, gerak hati dan fatwa hati saya sendiri tentang sesuatu perkara yang berlaku di dunia ini berdasarkan sudut pandang saya yang saya sandarkan kepada setitis ilmu dalam pelbagai bidang yang ada di dalam dada saya dan pengalaman yang telah saya tempuh setakat hayat saya pada masa kini. Sekali-sekala saya akan mencadangkan buku-buku atau menulis komentar tentang karya-karya tertentu untuk sorotan anda.

Mungkin ada di kalangan anda yang telah terjumpa blog-blog lain ciptaan saya sebelum ini dengan tajuk-tajuk tertentu. Dimaklumkan bahawa semua blog itu telah menjadi blog yang mati sebab saya sudah tidak ingat nama pengguna dan kata kunci semasa mula-mula mencipta blog-blog itu. Dengan terciptanya blog terbaru ini yang saya asosiasikan dengan aplikasi-aplikasi Google yang lain, saya berharap blog ini akan menjadi satu-satunya blog yang akan saya jadikan sebagai wadah di antara saya dan anda untuk membaca gagasan dan idea saya.

Gambar di atas menjadi latar bahagian pengatas blog ini.

Gambar di bawah pula ialah versi penuh gambar di atas. Sebuah mesin taip berwarna biru jenama Olivetti buatan Mexico model NOM-354-1 tahun 1990, diletakkan di atas sebuah meja kopi bersama sarungnya sekali, juga berwarna biru, di hadapan rumah saya yang menghadap sebuah padang dikelilingi pohon-pohon rimbun yang meredupkan suasana yang menjadi tempat berekreasi warga perumahan ini. Saya telah membeli mesin taip ini di Kedai Buku Ko-op USM dengan harga RM250 semasa belajar di dalam Matrikulasi Tahun Kedua USM pada tahun 1992, menggunakan duit dermasiswa kerajaan dan gaji bekerja sementara semasa cuti antara semester yang saya kumpul dan simpan.

Sungguh seronok perasaan saya semasa mula-mula menggunakan mesin taip itu. Mekanisme ketukan sungguh lancar tidak sangkut-sangkut dan dakwatnya pula terang apabila menggunakan reben baru. Mesin taip ini telah banyak berjasa kepada saya. Sebab itu saya tidak membuangnya apabila tahap upaya penggunaannya telah merosot. Saya masih simpan dengan baik kerana setiap kali memandang mesin taip ini, banyak kenangan melintas di hadapan mata dan ilham datang mencurah-curah.

Ada banyak cerita di sebalik mesin taip biru ini yang saya ingin kongsikan bersama anda sekalian.

Tiada sekian.




Isnin, 13 April 2015

Entri 001 Doa Peribadi

Saya memulakan blog peribadi ini dengan sebuah doa peribadi sebagai entri pertama. Doa ini mengandung segala harapan, sebagai manifestasi dan menjadi inspirasi apa yang akan saya isi blog ini di dalam entri-entri yang akan datang.

“Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu di atas segala nikmat yang telah Engkau kurniakan kepadaku selama ini dan aku bersyukur kepadaMu sekali lagi kerana itu.

Ya Allah, aku mohon keampunanMu di atas segala dosa dan kesalahan, kecuaian dan kelalaian, yang telah aku lakukan selama ini.

Ya Allah, aku mohon keampunanMu, aku mohon keredhaanMu dan aku mohon rahmatMu.

Dikau luas dan terangkanlah akal fikiranku, bukakanlah pintu hatiku dan lapangkanlah dadaku.

Aku mohon ketenangan dan ketajaman fikiran dariMu, aku mohon kematangan bertindak, aku mohon kefasihan berbicara, aku mohon kebijaksanaan merancang dan aku mohon kekuatan untuk melaksanakan segala perancanganku itu.

Aku mohon kecemerlangan dariMu di dalam setiap bidang yang aku ceburi. Aku mohon kecemerlangan dariMu di dalam setiap bidang yang aku ceburi. Aku mohon kecemerlangan dariMu di dalam setiap bidang yang aku ceburi.

Kuatkanlah jiwaku, tenangkanlah hatiku, tetapkanlah pendirianku, mantapkanlah pemikiranku, sihatkanlah tubuh badanku dan sucikanlah rohaniku sebagai hambaMu kerana aku ingin menjadi hambaMu yang baik.

Bantulah aku untuk melaksanakan segala amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas diriku selama ini dan bantulah aku untuk membereskan segala urusanku yang masih tertangguh sebelum aku kembali menemuiMu.

Bantulah aku dan pimpinlah aku kerana aku amat mengharapkan bantuan dan pimpinanMu. Bantulah aku dan pimpinlah aku kerana aku tidak mampu membantu dan memimpin diri sendiri. Bantulah aku dan pimpinlah aku kerana Engkau adalah Tuhanku Yang Maha Membantu dan Maha Memimpin.

Peliharalah maruah dan air muka serta keselamatan dan kesihatan dan persekitaran yang baik dan murahkanlah rezeki dan permudahkan urusan diriku sendiri tidak kira di mana sahaja aku berada dan pada bila-bila masa.

Peliharalah maruah dan air muka serta keselamatan dan kesihatan dan persekitaran yang baik dan murahkanlah rezeki dan permudahkan urusan isteriku tercinta yang bernama Norzitah binti Abu Khair tidak kira di mana sahaja dia berada dan pada bila-bila masa.

Peliharalah maruah dan air muka serta keselamatan dan kesihatan dan persekitaran yang baik dan murahkanlah rezeki dan permudahkan urusan anak-anakku tersayang yang bernama Nor Huda binti Mohd Hamin, Muhammad Hadi bin Mohd Hamin dan Nor Husna binti Mohd Hamin tidak kira di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa.

Peliharalah maruah dan air muka serta keselamatan dan kesihatan dan persekitaran yang baik dan murahkanlah rezeki dan permudahkan urusan kedua ibu dan bapaku, bapa mertuaku, guru-guruku, adik-beradikku, adik-beradik isteriku, ipar duaiku, biras-birasku, anak-anak saudaraku, saudara mara dekatku, saudara mara jauhku, sahabat-sahabatku, jiran-jiran tetanggaku, orang-orang atasanku, orang-orang bawahanku, rakan-rakan sekerjaku, tanggungan di bawah orang-orang atasanku, orang-orang bawahanku dan rakan-rakan sekerjaku itu dan orang-orang yang mempunyai hak ke atas diriku tidak kira di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa.

Teguhkanlah rasa cinta hatiku terhadap Norzitah binti Abu Khair, dan teguhkanlah rasa cinta hati Norzitah binti Abu Khair terhadap diriku

Murahkanlah rezeki, permudahkanlah jalan supaya aku boleh menjalani kehidupan berkahwin dan kekalkanlah jodoh perkahwinanku bersama pasanganku itu.

Satukanlah aku dan isteriku dengan penyatuan yang wajar sebagai suami isteri dan kurniakanlah kebahagiaan yang berkekalan kepada rumah tangga kami berdua.

Kurniakanlah kepada isteriku dan diriku xxxxx yang puas dan memuaskan semasa kami berxxxxx. Kurniakanlah kepada isteriku dan diriku xxxxx yang puas dan memuaskan semasa kami berxxxxx. Kurniakanlah kepada isteriku dan diriku xxxxx yang puas dan memuaskan semasa kami berxxxxx.

Murahkanlah rezekiku pada waktu sekarang supaya aku boleh membayar hutang pada waktu nanti. Murahkanlah rezekiku pada waktu pagi supaya aku boleh membayar hutang pada waktu petang. Murahkanlah rezekiku pada waktu siang supaya aku boleh membayar hutang pada waktu malam. Murahkanlah rezekiku pada hari ini supaya aku boleh membayar hutang pada hari esok. Murahkanlah rezekiku pada minggu ini supaya aku boleh membayar hutang pada minggu depan. Murahkanlah rezekiku pada bulan ini supaya aku boleh membayar hutang pada bulan depan. Murahkanlah rezekiku pada tahun ini supaya aku boleh membayar hutang pada tahun depan. Kerana aku ingin mati menemuiMu dalam keadaan bebas merdeka daripada sebarang belenggu hutang-piutang.

Jadikanlah aku orang kaya supaya aku boleh menolong diri sendiri. Jadikanlah aku orang kaya supaya aku boleh menjalani kehidupan berkahwin dan mencukupkan segala nafkah. Jadikanlah aku orang kaya supaya aku boleh membayar segala hutang. Jadikanlah aku orang kaya supaya aku boleh menolong orang miskin. Jadikanlah aku orang kaya supaya aku boleh menolong agamaMu.

Berikanlah kepadaku petunjuk dan bimbingan untuk melaksanakan suatu usaha niaga atau pekerjaan yang berjaya dengan menggunakan modal dan sokongan yang Engkau berikan sebagai suatu cara untuk mencari dan menampung nafkah hidup dengan saraan yang sah, halal dan berkat.

Permudahkanlah segala urusan duniaku kerana urusan dunia itu sangat susah, penuh dengan tipu daya, banyak muslihat dan sudahkanlah urusan duniaku dengan kesudahan yang baik.

Permudahkanlah segala urusan akhiratku kerana urusan akhirat itu sangat susah, penuh dengan dugaan dan banyak godaan dan sudahkanlah urusan akhiratku itu dengan kesudahan yang baik.

Cukupkanlah keperluanku semasa hidupku di dunia. Dan bantulah aku untuk mencukupkan keperluanku semasa hidupku di akhirat selagi aku masih hidup di dunia.

Kurniakanlah kepadaku kekayaan wang ringgit yang banyak, yang melimpah ruah, yang mempunyai nilai, yang halal, yang berkat, yang boleh dimanfaatkan. Letakkanlah kekayaan itu di dalam tanganku. Janganlah Engkau letakkan kekayaan itu di dalam hatiku supaya aku tidak terpesona dengan fitnah kekayaan kurniaanMu.

Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kekayaan wang ringgit yang halal dan berkat, tubuh badan yang sihat dan cergas, jiwa yang tenang dan qana’ah, dan masa hidup yang berkat. Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kekayaan wang ringgit yang halal dan berkat, tubuh badan yang sihat dan cergas, jiwa yang tenang dan qana’ah, dan masa hidup yang berkat. Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kekayaan wang ringgit yang halal dan berkat, tubuh badan yang sihat dan cergas, jiwa yang tenang dan qana’ah, dan masa hidup yang berkat.

Ya Allah, sekarang aku telah menjadi gemuk dan sudah ada penyakit di dalam tubuh badanku dan aku berasa berat untuk bangkit menunaikan amal ibadat kepadaMu. Oleh itu, bantulah aku untuk kuruskan semula tubuh badanku, tunjukkanlah aku jalan yang lurus untuk menurunkan dan mengurangkan berat badanku, supaya dapat mengurangkan kesan penyakit yang telah ada di dalam tubuh badanku dan supaya aku berasa ringan untuk bangun bangkit menunaikan amal ibadat kepadaMu dengan baik dan sempurna.

Ya Allah, aku ada ibu bapa dan bapa mertua yang telah mencapai umur tua renta. Janganlah Engkau menjadikan mereka tua dalam keadaan nyanyuk, pikun dan sia-sia. Jadikanlah mereka tua dalam keadaan tubuh badan yang masih sihat, fikiran yang masih waras, jiwa yang telah tenang dan mempunyai hikmah kebijaksanaan yang boleh dikongsikan bersama anak cucu mereka. Kurniakanlah kesempatan kepada kami anak cucu mereka untuk berbakti dan berjasa kepada mereka dengan sebaik-baik bakti dan jasa, selagi mereka masih hidup dan sesudah mereka mati. Bantulah kami untuk menjaga dan memelihara mereka dengan sebaik-baik pemeliharaan dan penjagaan, pada hakikatnya Engkaulah yang menjaga dan memelihara mereka. Oleh itu tolonglah Ya Allah, jagalah dan peliharalah mereka sebagaimana mereka telah menjaga dan memelihara kami semasa kami kecil dahulu.

Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu kerana telah mengurniakan anak-anak di dalam rumah tangga yang telah aku bina bersama isteriku. Amat susah untuk mendidik dan membesarkan anak-anak, Ya Allah. Oleh itu bantulah aku dan isteriku untuk mendidik dan membesarkan anak-anak kami menjadi insan-insan yang beriman, beramal soleh, bertaqwa, berakhlak mulia, berbudi pekerti terpuji, serta tetap berdiri teguh di atas jalan agamaMu. Hijabkanlah kemaluan mereka, qubul dan dubur, daripada zina, liwat dan lesbian. Kurniakanlah kepada mereka nikmat perkahwinan yang sah, halal dan berkat, jika Engkau mentaqdirkan mereka akan berkahwin dan beranak-pinak pada suatu hari nanti.

Ya Allah sekarang aku sedang diuji dengan berbagai bentuk ujian dunia. Bantulah aku untuk melepaskan diri daripada masalah dunia yang sedang membelengguku. Sesungguhnya Engkau lebih besar daripada masalah itu. Bersama masalah itu juga telah Engkau sediakan jalan keluar, tunjukkanlah kepadaku jalan keluar daripada setiap permasalahan itu dan jadikanlah aku sebagai seorang yang telah mencapai jiwa yang tenang setelah Engkau keluarkan aku daripada permasalahan itu.

Ya Allah, dengarkanlah doa hajatku ini, terimalah doa hajatku ini dan mustajabkanlah doa hajatku ini.

Amin, Amin, Ya Rabbal ‘alamin.”

Apabila kita berdoa kepada Allah, rendahkan dan lunakkan suara kita, ucaplah kata-kata doa sepatah-sepatah dan lambat-lambat hingga setiap bait kata itu meresap masuk ke dalam jiwa, seolah-olah kita berasa Allah telah mustajabkan doa kita walaupun Dia belum bagi apa-apa lagi kepada kita. Tidak mengapa kita berlama-lamaan dengan Allah semasa berdoa. Sebab itulah kita kena berdoa pada waktu sahur iaitu penghujung satu per tiga malam yang akhir sebelum masuk waktu solat Subuh supaya kita boleh berikan hak kita kepada Allah dalam keadaan tenang dan cukup masa.

Insya Allah, saya akan teruskan dengan entri-entri yang lain.

Tiada sekian.